Kisah cinta 6 dekad Siti Hasmah, Mahathir difilemkan

Kisah percintaan isteri Perdana Menteri, Siti Hasmah Mohd Ali bersama suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad kini diangkat dalam sebuah filem cinta berjudul “Hasmah-Bila Deh Bertemu Det”.

Karya tertbitan Tune Production Sdn Bhd menceritakan kisah percintaan mereka lebih enam dekad, berpandukan kisah sebenarnya sejak kecil, sekolah dan tiada tokok tambah mahupun ditukar pada senario sebenar.

Menurut Pengarah Urusannya, Hafiz Roslan sesi penggambaran bagi filem ini mengambil masa 65 hari bermula Mac hadapan dan akan ditayang pada akhir tahun hadapan.

Tambahnya, ia melibatkan beberapa lokasi seperti Perak, Kedah, Singapura, Jepun, dan New York.

“Filem ini berkisahkan biopik dan cinta tentang perjalanan kehidupan beliau, suka, duka, pahit, manis dan rintangan yang dilalui sebagai seorang isteri kepada Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis prapelancaran filem berkenaan yang dirasmikan Timbalan Menteri komunikasi dan multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Dengan kos penggambaran antara RM6 juta sehingga RM7 juta, watak Siti Hasmah itu akan dilakonkan Farah Nadia Zainal Abidin.

“Untuk skrip pula sekarang dalam proses dan dijangka siap akhir bulan ini termasuklah kita semak dua kali dengan Dr Siti Hasmah sendiri mengenai cara beliau bercakap dan dialog dalam kisah itu.

“Selain menjadikan buku biografi sebagai rujukan utama, kami juga akan bertanya pada beliau untuk menceritakan apa yang berlaku semasa beliau dengan Dr Mahathir yang kisahnya tiada dalam buku itu,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu Eddin Syazlee, berkata ,filem itu harus dilihat bukan sahaja daripada segi konteks kandungannya yang mengangkat sisi perjuangan wanita hebat sebagai isteri, pemimpin kepada rakyat namun kepentingan bergenre sebegini sebagai khazanah dan warisan kepada negara.

“Jika di luar negara karya-karya hebat yang mengangkat perjuangan Wanita Pertama seperti Jacqueline Kennedy Onassis (Jackie) (Amerika Syarikat), Maria Eva Duarte de Peron (Evita) (Argentina) dan Habibie dan Ainun (Indonesia) menjadi wadah visual yang ikonik, saya percaya filem ‘Hasmah-Bila Deh Bertemu Det’ seperti ini mampu diterima di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]