Korban rusuhan Iraq cecah 104, 6,000 lagi cedera

Penunjuk perasaan melarikan diri dari tindakan pasukan keselamatan Iraq yang melepaskan gas pemedih mata dalam protes antikerajaan seluruh negara, di Baghdad pada 5 Okt. (Gambar Reuters)

BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 104 orang terbunuh dan lebih 6,000 cedera dalam rusuhan yang tercetus sejak awal minggu lalu, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Mejar Jeneral Saad Maan.

Saad berkata lapan anggota pasukan keselamatan merupakan antara mereka terbunuh dan 51 bangunan awam dan lapan ibu pejabat parti politik turut dibakar penunjuk perasaan.

Kerajaan menarik balik perintah berkurung pada 5 Okt. Bagaimanapun rusuhan tercetus semula sehari selepas perintah berkurung ditarik balik.

Ini rusuhan paling dahsyat di Iraq selepas kekalahan IS pada 2017 dan telah menjejaskan kerajaan Perdana Menteri Adel Abdul Mahdi.

Kerajaan menyatakan kesediaan untuk memenuhi tuntutan meningkatkan peluang pekerjaan, perkhidmatan lebih baik dan menghapuskan rasuah endemik dengan janji-janji pembaharuan, yang jelas tidak mungkin menenangkan rakyat Iraq.

Pembangkang mahu Abdul Mahdi dan Kabinetnya meletakkan jawatan.