Lantik kerana keupayaan, bukan kaum atau mazhab, PSM bidas wakil rakyat PAS

Nik Aziz Afiq Abdul.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyifatkan ucapan wakil rakyat PAS, Ahmad Fadhli Shaari pada Kongres Maruah Melayu bahawa kerajaan perlu melantik orang Melayu-Islam ke jawatan utama negeri dan negara sebagai “dangkal” dan membelakangkan konsep negara berbilang kaum.

Ketua Pemuda Nik Aziz Afiq Abdul berkata pelantikan seseorang seharusnya mengutamakan tiga perkara iaitu “merit”, “kebolehpercayaan”, dan “keupayaan” menjalankan tugas, dan bukannya warna kulit.

“Sekiranya beliau tidak cemerlang dalam tugasan, maka seseorang yang lebih berupaya dari segi merit perlu dipilih sebagai pengganti.

“Formula itu lebih tepat dan adil untuk diguna pakai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadhli, ahli Parlimen Pasir Mas, mewakili kluster agama kongres dilapor menggesa orang Melayu-Islam dari aliran Sunnah dilantik ke jawatan utama, termasuk perdana menteri dan timbalan, menteri kewangan, menteri pendidikan, menteri dalam negeri, menteri pertahanan dan pihak berkuasa negeri.

Nik Aziz menolak pendirian tersebut dan mengingatkan Malaysia dibina hasil curahan tenaga dan sumbangan semua kaum.

Beliau bertegas semua kaum berganding bahu dan memberi sumbangan buat Malaysia, maka semua kaum harus mendapat tempat bersama dalam pentadbiran dan pengagihan ekonomi.

“Maka bagaimana mungkin timbulnya idea untuk hanya satu kaum sahaja mendominasi segala jawatan penting?” katanya.

“Apakah beliau cuba mengatakan bahawa kaum selain Melayu adalah kelas kedua, lebih rendah martabat atau maruahnya tidak sepenting maruah Melayu?”

Nik Aziz turut membidas kriteria aliran Sunnah dalam pelantikan jawatan, menarik perhatian Fadhli kepada pendirian Risalah Amman, yang mengiktiraf lapan mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali, Jaafari, Zaidiyah, Zahiri dan Ibadi.

“Dilarang mengkahirkan mazhab-mazhab ini,” katanya, merujuk kepada deklarasi Risalah Amman pada 2015 yang menghimpunkan 200 sarjana Islam dari 50 negara.

“Maka cukup-cukuplah mahu mencari dan mencetuskan perbezaan sebaliknya lihatlah pada persamaan yang lebih menguntungkan.”

Beliau seterusnya menyeru keperibadian bekas mursyidul am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat dicontohi dengan lebih dekat, mengatakan beliau begitu disenangi dan disanjungi semua kaum.

“Kerana prinsip beliau yang menyanggah nasionalis perkauman,” katanya.

“Nik Aziz tidak perlu menanggalkan serban atau jubah yang dipakai untuk mendapat penghormatan daripada kaum lain, cukup dengan beliau tidak memakai pemikiran diskriminasi perkauman sempit yang merugikan,” katanya.