Laporan dakwa sokongan PH merosot, Ismail yakin BN menang Tg Piai

Ismail Sabri berkata pertandingan tiga penjuru di Tanjung Piai pada PRU-14 menyaksikan BN kalah dengan perbezaan lebih 500 undi.

KUALA LUMPUR: Peluang Barisan Nasional merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai cerah susulan penemuan badan pemikir mendakwa populariti Pakatan Harapan (PH) merosot daripada lebih 80 peratus kepada 35 peratus, kata Ismail Sabri Yaakob.

Ketua pembangkang berkata penolakan rakyat terhadap PH sudah dilihat sejak Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands (26 Jan), DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau (13 Apr).

“Waktu itu penolakan rakyat belum sampai ke tahap 35 peratus, mungkin waktu itu masih 50 peratus.

“Tetapi kalau sudah turun sampai 35 peratus, saya percaya peluang di Tanjung Piai boleh menang sebab sebelum ini kekalahan juga tidak banyak, hanya lebih 500 undi sahaja. Itupun disebabkan tiga penjuru,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Ismail percaya peluang BN untuk menang lebih besar dalam pertandingan dua penjuru.

Sebelum ini, satu kaji selidik Merdeka Center yang dibentangkan pada temu rapat tertutup PH menunjukkan populariti gabungan itu turun daripada 87 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-14 kepada 35 peratus pada Ogos lalu.

Menurut laporan itu, populariti PH dalam kalangan pengundi Cina dan India merosot kepada 41 peratus serta 30 peratus pengundi Melayu masih menyokong gabungan itu Ogos lalu.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berpandangan, laporan Merdeka Center itu tidak akan menjejaskan peluang PH untuk mengekalkan kerusi berkenaan.

“Pilihan raya itu adalah isu yang berasingan. Ia adalah isu setempat. Namun kita perlu berurusan dengannya,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.