Lebih 61,000 belia dapat kerja hingga Ogos, kata menteri

Program penempatan kerjaya dan aplikasi mencari kerja memudahkan belia mencari kerja yang sesuai dengan kemahiran, kelulusan dan minat golongan itu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Sejak Januari hingga Ogos lalu, seramai 61,871 penganggur dalam kalangan belia berjaya mendapatkan pekerjaan dan penempatan melalui penganjuran karnival kerjaya dan program pemadanan kerja.

Perkara itu diumumkan Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelasnya, ia berjaya dicapai melalui program penempatan kerjaya dan aplikasi mencari kerja, Job Malaysia yang memudahkan golongan belia mencari kerja yang sesuai dengan kemahiran, kelulusan dan minat golongan itu.

“Program ini akan terus dianjurkan dari masa ke masa dengan sistem pemadanan kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan yang bertanya peratus pengangguran dalam kalangan belia dan graduan serta langkah yang sudah diambil oleh pihak kementerian.

Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata, kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 18 hingga 24 tahun sebanyak 10.9%.

Angka tersebut dirujuk melalui Kajian Tenaga Buruh bagi 2019.