Lebih 700,000 akaun pendeposit TH tak aktif

Tabung Haji mengesan 700,000 pendeposit TH tidak mengaktifkan akaun masing-masing sejak tujuh tahun lalu.

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) mendedahkan lebih 700,000 akaun pendeposit melibatkan simpanan sebanyak RM60.4 juta adalah pendeposit tidak aktif iaitu tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun sejak 2012.

TH dalam satu kenyataan hari ini berkata akaun yang tidak diaktifkan selepas 1 November 2019 akan dipindahkan ke dalam kumpulan Akaun Dormant (Tidak Aktif).

“Namun begitu, amaun yang dipindahkan ke Akaun Dormant tersebut masih lagi boleh dituntut dan dibayar kepada pendeposit TH menurut peruntukan seksyen 23(2) Akta Tabung Haji 1995,” menurut kenyataan itu.

Ia juga menasihati pendeposit mengaktifkan akaun masing-masing dengan melakukan sekurang-kurangnya satu transaksi simpanan atau pengeluaran di mana-mana cawangan TH, kaunter uniteller atau transaksi atas talian dengan mana-mana rakan strategik TH iaitu
Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB di seluruh negara.

“Pendeposit juga boleh menyemak status akaun mereka di saluran-saluran ini dengan hanya membawa kad pengenalan masing-masing,” katanya.

Selain itu, TH mengingatkan pendeposit mengemaskini data peribadi seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris bagi memudahkan TH menghubungi pendeposit atau waris untuk urusan penghantaran surat tawaran haji dan pengurusan akaun.