Melayu malu terima gaji RM1,100 sebulan tapi tak malu terima bantuan RM500 setahun?

Dalam Kongres Maruah Melayu yang diadakan semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Melayu malu bekerja dalam sektor bahaya, kotor dan sukar yang hanya ditawarkan gaji minimum RM1,100 sebulan tetapi tidak malu untuk menerima sagu hati RM500 setahun. Adakah ini benar?

Sebagai seorang Melayu, perkara ini adalah sesuatu yang diterima. Bukan kerana menidakkan kebenaran secara lateral, tetapi kerana sebagai pemimpin yang bukan sekadar satu atau dua tahun, malah pernah memimpin negara ini selama lebih 20 tahun, Mahathir seharusnya lebih tahu permasalahan Melayu sebenarnya.

Tambahan pula, beliau sendiri yang pernah menulis buku berjudul “The Malay Dilemma” suatu waktu dahulu. Melainkan, tujuan beliau menulis buku tersebut bukanlah untuk membincangkan dilema Melayu sebenarnya, tetapi lebih bertujuan politik dalam menjatuhkan pihak tertentu.

Bukanlah bermakna kami bersetuju dengan pemberian sagu hati RM500 setahun kerana kami sejujurnya lebih memilih agar kerajaan memberikan pancing dan mengajar kami memancing berbanding menberikan ikan sebagai suapan politik di setiap ketika. Tetapi seharusnya kerajaan perlu melihat kepada keadaan semasa dan memahami peritnya kehidupan rakyat, khususnya Melayu yang dibincangkan dalam topik ini, sebelum membuat sesuatu tuduhan sebegitu.

Lihatlah pada kajian yang dijalankan Bank Negara Malaysia yang dikeluarkan pada 27 Mac 2019 di mana, pekerja di Malaysia dibayar tidak berkadaran dengan produktiviti yang dihasilkan mereka, di mana purata pekerja di Malaysia dibayar AS$340 untuk setiap AS$1000 yang mereka hasilkan, berbanding penanda aras di mana pekerja dibayar AS$510 untuk setiap AS$1000 yang mereka hasilkan.

Sebenarnya pekerja Melayu bukanlah malu untuk bekerja dalam sektor yang melibatkan kerja yang bahaya, kotor dan sukar, tetapi upah yang diberikan untuk kerja tersebut tidak berpadanan. Kalau masih tidak percaya, lihatlah pada kerja sukar dan bahaya dalam bidang minyak dan gas, lebih bahaya dan lebih susah berbanding kerja bahaya dan sukar lain, tetapi kerana upahnya berpadanan, ramai sekali anak Melayu yang menceburkan diri dalam kerja ini.

Dan sekiranya dilihat kembali, Kongres Maruah Melayu adalah jauh lebih memalukan berbanding malunya seorang pekerja Melayu untuk bekerja dengan gaji minimum RM1,100. Setelah 50 tahun kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang meletakkan sasaran untuk memperbaiki ekonomi Bumiputera terutama Melayu, hari ini kerajaan masih perlu untuk mengadakan satu kongres menghimpunkan ramai orang untuk bercerita tentang maruah Melayu? Mana pergi segala polisi yang digariskan dalam DEB selama ini? Ternyata pemimpin Melayu memimpin kerajaan selama ini gagal. Tapi masih tebal muka untuk mengakui salah sendiri dan menuding jari menuduh Melayu marhaen sebagai memalukan. Ini sangatlah menjijikkan.

Jika dilihat sendiri, siapakah yang mengisi jawatan kerja yang sukar, kotor dan bahaya seperti tugas mengawal dan membersihkan bangunan kerajaan termasuk sekolah dan hospital di seluruh negara. Peratusan besar adalah mereka yang berbangsa Melayu yang digajikan sekadar gaji minimum RM1,100 sebulan. Tetapi betapa khianatnya pemimpin Melayu yang memegang kuasa, mengakibatkan kerja yang dulunya lebih terjamin, walaupun gaji pada ketika itu adalah rendah, dijadikan satu bentuk kontrak dan untungnya dikaut oleh segolongan kroni yang diberikan kontrak ini.

Mereka menindas pekerja-pekerja ini, memerah keringat mereka dan menafikan hak yang sepatutnya mereka dapat. Adakah pemimpin yang menjulang tangan dalam Kongres Maruah Melayu sedar dan tahu tentang perkara ini? Saban waktu pekerja ini bergelut dengan masalah tidak dibayar gaji, KWSP dan Perkeso tidak dicarum, majikan enggan membayar gaji minimum dan berbagai masalah lainnya, adakah pemimpin Melayu yang menjulang tangan dalam Kongres Maruah Melayu ini sedar dan mengambil tindakan? Sedarkah mereka puluhan ribu daripada mereka ini, yang sebahagian besarnya Melayu, kehilangan kerja sejak 1 Jun 2019 akibat dari pengurangan peruntukan kepada kerja ini dan dijangkakan pada penghujung tahun ini, sebilangan besar lagi akan turut kehilangan kerja apabila kontrak baru pengawal keselamatan akan turut dijalankan?

Mahathir juga mengatakan dalam keadaan sekarang, negara kita adalah negara yang bukannya kaya dan tidak berkemampuan untuk membayar gaji yang lebih tinggi. Tetapi lihatlah kepada apa yang sebenarnya berlaku. Para menteri dan jawatan lantikan politik masih menikmati skim gaji dan kemudahan yang lumayan, tetapi dalam masa yang sama, menghabiskan sebahagian besar masa mereka untuk terlibat dalam politik dalaman parti dan bukannya bekerja untuk menjadikan negara ini maju dan berkemampuan. Pemimpin masih tidak buat sepertimana mereka bercakap dan masih mungkir dengan segala janji mereka kepada rakyat.

Kenapa mereka ini tidak ditegur dan diambil tindakan? Sebahagian besar rakyat masih boleh menerima apabila kerajaan gagal menunaikan janji sepertimana dalam manifesto, tetapi yang paling “membengkakkan rasa” adalah apabila kerajaan membuat sesuatu yang mereka janji untuk tidak akan buat. Dan masih meletakkan kesalahan kepada rakyat dalam setiap hal. Bukankah itu lebih memalukan berbanding pekerja yang kononnya “malu” untuk bekerja dengan gaji minimum? Menteri masih menggunakan jet mewah kerajaan untuk tugas ke luar negara, membawa isteri dalam tugas rasmi dan sebagainya sedangkan inilah apa yang mereka sendiri janji untuk tidak akan buat. Kenapa ini masih berlaku?

Pemimpin seharusnya menilai diri sendiri terlebih dahulu sebelum menuding jadi untuk menuduh orang lain sebagai malu dan sebagainya. Lihatlah kegagalan diri sendiri terlebih dahulu, dan akuinya. Jika tidak mampu, letak jawatan dan berikan kepada orang lain yang lebih mampu.

Dan akhir sekali, pemimpin yang dipilih rakyat, sepatutnya bekerja untuk rakyat, bukannya menjadi “hamba” kapitalis yang seboleh mungkin akan memaksimumkan keuntungan mereka dan meletakkan rakyat hanya sebagai “alas kaki” untuk masuk ke pejabat “politik” mereka.

Wan Zamzahidi Wan Zahid ialah ahli jawatankuasa pusat, Parti Sosialis Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT