Menteri tolak dakwaan NGO RUU IPCMC ‘tak ada taring’

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Liew Vui Keong di lobi Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong menolak kenyataan badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) sebagai “tidak bertaring”.

Liew berkata, NGO berkenaan tidak sewajarnya membuat tuduhan melulu terhadap akta yang dibentangkan di Parlimen hari ini tanpa mengetahui secara mendalam mengenai RUU berkaitan IPCMC.

“Apakah mereka maksudkan dengan tidak bertaring? Saya mahu tahu. Ia memiliki kuasa menyiasat berkaitan kod tatacara jenayah. Ia perkara sama seperti mana-mana badan penyiasat,” katanya sewaktu ditemui di Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, NGO Rakyat Bantah Penghilangan Paksa (CAGED) menggesa ahli Parlimen supaya menarik semula RUU IPCMC yang dilabelkannya sebagai “tidak bertaring”.

Menurutnya, rang undang-undang berkenaan yang dicadangkan pada 2005 tidak lengkap kerana ia dimodelkan menurut Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang turut diakui Putrajaya sebagai sebuah institusi gagal.

Menurut NGO itu lagi, sekiranya EAIC menjadi sebuah institusi yang “tidak bertaring”, maka RUU IPCMC ini juga adalah “harimau tidak bertaring” memandangkan ia mempunyai kuasa yang lebih sedikit daripada EAIC.

Menurut Liew, beliau bagaimanapun akan menyerahkan perkara ini kepada ahli Parlimen untuk membahaskan perkara itu dan membuat keputusan.

“Saya biarkan ahli Parlimen berdebat berkaitan isu ini. Akta ini berkemungkinan satu-satunya yang kita ada yang boleh menjalankan siasatan ke atas polis,”katanya.

RUU IPCMC dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini untuk bacaan kali kedua. Seramai 30 ahli Parlimen akan membahaskan isu tersebut.