PH akan bertahan, kata Kit Siang selepas pemimpin Melayu berhimpun di Shah Alam

Dr Mahathir Mohamad, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan pemimpin Umno, termasuk Annuar Musa dan Hishammuddin Hussein bergambar ramai pada Kongres Maruah Melayu di Shah Alam semalam.

PETALING JAYA: Lim Kit Siang hari ini menolak spekulasi gabungan kerajaan akan berpecah, sehari selepas pemimpin Umno dan PAS menyertai Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam satu kongres perpaduan Melayu yang menyaksikan pembahas menggesa wakil Melayu dalam kerajaan ditambah.

“Mereka yang berharap Kongres Maruah Melayu akan menghancurkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pasti kecewa, dan rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah mesti terus bersatu, setia kepada prinsip perlembagaan dan Rukun Negara, patriotik, matang dan berwawasan mengenai Malaysia muncul sebagai negara kelas dunia serta tidak putus harapan dalam pembetulan semula dasar pembinaan negara bagi mencapai Malaysia Baru,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim berkata, kerajaan PH “bercadang untuk bertahan sehingga tamat penggal”, sekali gus menggesa ahli Parlimen kerajaan menunjukkan perpaduan sewaktu Dewan Rakyat bersidang semula hari ini.

Beliau juga menyifatkan spekulasi media bahawa satu undi tidak percaya akan dibentangkan pada tiga hari terakhir persidangan sebagai “sangat tidak masuk akal dan bodoh”.

“Pakatan empat parti ini bukan sahaja kekal utuh sepanjang beberapa bulan pertama, malah akan menyambut bulan ke-17 sebagai kerajaan dua hari lagi dan bercadang untuk menamatkan penggal lima tahunnya sebelum pilihan raya umum ke-15 pada 2023,” katanya.

Semalam, Mahathir menyertai pemimpin politik lawan daripada parti serta pertubuhan orang Melayu di Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan bersama oleh beberapa universiti awam.

Perhimpunan itu yang dihadiri lebih 5,000 orang di Shah Alam menyaksikan pembahas mengkritik orang bukan Melayu yang “melanggar kontrak sosial”, sementara yang lain menggesa penggubalan undang-undang bagi memastikan hanya orang Melayu menjawat jawatan tertinggi kerajaan.

Lim berkata, resolusi kongres tersebut mengenai politik, ekonomi, agama dan pendidikan telah mengabaikan “aib, kehinaan dan ketidakadilan yang dilalui oleh Malaysia sebagai sebuah kleptokrat dunia selama lebih satu dekad”.

“Malaysia menjadi sebuah kleptokrat dunia merupakan faktor tunggal yang mengakibatkan maruah orang Melayu dan juga semua rakyat mencecah titik paling rendah dalam sejarah, namun ia tidak langsung disebut,” katanya.