Presiden Filipina alami gangguan saraf di mata

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte. (Gambar Reuters)

MANILA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte berkata beliau mengalami gangguan neuromuskular kronik yang dipanggil “myasthenia gravis” yang menyebabkan salah satu kelopak matanya jatuh.

Duterte berkata demikian semasa berucap kepada komuniti Filipina di Rusia pada Sabtu ketika mengadakan lawatan kerja.

“Ia adalah kerosakan saraf,” kata Duterte, menjelaskan kepada orang ramai mengapa satu matanya kelihatan lebih kecil berbanding sebelah lagi.

Tiada ubat untuk myasthenia gravis, penyakit yang menyebabkan kelemahan otot, tetapi rawatan boleh membantu melegakan gejala.

Duterte, 74 dikenali dengan jadualnya yang padat hilang dari pandangan orang ramai beberapa ketika dan khabar angin mengatakan kesihatanya merosot. Namun, pentadbirannya berulang kali menafikannya.

Komen terbaru Duterte menimbulkan banyak persoalan mengenai keadaan kesihatannya.

Penyakit Duterte yang diketahui termasuklah masalah belakang, migrain akibat kerosakan saraf selepas kemalangan motosikal dan esofagus Barrett, yang menjejaskan tekaknya. Beliau juga menderita penyakit Buerger disebabkan tabiat merokoknya ketika muda yang boleh menyebabkan penyumbatan salur darah.

Oktober lalu, Duterte menjalani kolonoskopi, prosedur untuk memeriksa kesihatan rektum dan usus besar.