Putrajaya sedia kaji semula garis kemiskinan nasional

Kajian terperinci sedang dibuat oleh kementerian terlibat dan agensi kerajaan yang berkaitan.

KUALA LUMPUR: Putrajaya bersedia mengkaji semula pendapatan garis kemiskinan (PGK) yang menjadi penentu kadar kemiskinan nasional, kata perdana menteri.

Dr Mahatahir Mohamad dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat berkata kerajaan membuat keputusan tersebut untuk memberi gambaran sebenar kemiskinan di Malaysia.

“Tapi apa yang lebih penting usaha banteras kemiskinan yang berterusan dan efektif,” katanya mengulas pertanyaan Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim yang bertanya apakah tindakan yang diambil kerajaan berhubung laporan kemiskinan tegar di Malaysia.

Sebelum ini, Pelapor Khas Persatuan Bangs-Bangsa Bersatu (PBB) Philip Alston berkata kadar rasmi berkenaan kemiskinan di negara ini sebahagian besarnya adalah tidak tepat sama sekali dan tidak menggambarkan realiti sebenar.

Bagaimanapun dakwaan tersebut disangkal Menteri Ekonomi Azmin Ali yang mengatakan data yang digunakan kerajaan sebeum ini menggunakan piawaian yang diterima pakai di peringkat antarabangsa berdasarkan Canbera Group Handbook bagi statistik pendapatan isi rumah, edisi kedua dan diterbitkan oleh PBB.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata kerajaan sentiasa membantu dalam membasmi kemiskinan dengan mengemaskini dan menambah baik sistem e-Kasih yang menjadi pangkalan data kemiskinan nasional.

Jelasnya, sistem itu juga akan mengambil kira bilangan ahli dan keperluan isi rumah supaya pemberian bantuan menepati keperluan dan kumpulan sasar.

“Mekanisme pengumpulan data dan formulasi strategi juga akan ditambah baik dengan memanfaatkan perkembangan teknologi terkini.”