Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Harga minyak lebih baik mengekang ringgit daripada diniagakan terus rendah.

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan kekurangan minat belian dan sejajar dengan mata wang Asia yang lemah disebabkan ketidaktentuan yang berterusan mengenai ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kata peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada 4.1910/1950 berbanding dolar AS daripada 4.1840/1870 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Peniaga berkata, sentimen pasaran terjejas oleh laporan yang menyatakan China enggan bersetuju dengan perjanjian perdagangan yang luas dengan AS dalam rundingan yang ditetapkan untuk bermula pada Khamis.

Beliau, bagaimanapun, berkata harga minyak yang lebih baik telah mengekang ringgit daripada diniagakan terus rendah.

Pada masa ini, penanda aras harga minyak mentah Brent naik 0.26 peratus kepada AS$58.52 setong, manakala harga minyak mentah US WTI meningkat 0.40 peratus kepada AS$53.02 setong.

Ringgit ditutup kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0337/0374 daripada 3.0332/0363 pada Jumaat lepas, susut berbanding yen kepada 3.9238/9286 daripada 3.9194/9230 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.5988/5040 daripada 4.5928/5977.

Unit tempatan, bagaimanapun, mengukuh berbanding pound British kepada 5.1579/1636 daripada 5.1631/1680 sebelum ini.