RUU mansuh undang-undang Antiberita Tidak Benar dibentang semula

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019 di Parlimen hari ini, cubaan kedua selepas ditolak tahun lepas.

Ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong di depan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Yusof.

Perbahasan RUU itu untuk bacaan kali kedua dijangka dibentangkan pada sesi persidangan kali ini, yang berlangsung sehingga 5 Dis.

RUU itu dibentangkan untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 (Akta 803), yang diluluskan sewaktu pentadbiran kerajaan yang lepas.

Menurut buku RUU tersebut yang diedarkan kepada media hari ini, ia antara lain menyebut mengadakan peruntukan bagi pemansuhan Akta 803, disebabkan oleh perubahan dasar kerajaan bahawa berita tidak benar boleh ditangani bawah undang-undang sedia ada.

“Ia seperti Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Akta 301) dan Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588). Oleh itu, Akta 803 tidak lagi relevan,” menurut buku tersebut.

Pada September tahun lepas, RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 ditolak Dewan Negara sekalipun telah diluluskan Dewan Rakyat.