Usul mansuh sekolah vernakular, kenapa Kit Siang, Guan Eng diam, soal MCA

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, pendirian MCA berhubung sekolah vernakular adalah jelas.

KUALA LUMPUR: MCA hari ini mengkritik DAP yang menurutnya berdiam diri apabila terdapat gesaan menghapuskan sekolah vernakular seperti yang dicadangkan sewaktu Kongres Maruah Melayu semalam.

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata, amatlah mengejutkan apabila Setiasuaha Agung DAP Lim Guan Eng dan penasihat parti itu Lim Kit Siang langsung tidak membuat sebarang kenyataan dalam isu berkenaan.

“Saya terkejut, acara ini dianjurkan pihak universiti dan individu utama yang bertanggungjawab dalam perkara ini adalah Menteri Pendidikan Maszlee Malik dan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

“Kenapa mereka senyap? Jika ia berlaku sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN), saya boleh beri jaminan bahawa mereka akan menyelar perkara ini di kiri, kanan dan tengah.

“Jadi kenapa anda senyap? Bukankah anda kini berada di pihak kerajaan Persekutuan. Pada saya kita perlu teruskan (sekolah vernakular), saya sudah nyatakan dengan jelas,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

Semalam Kongres Maruah Melayu menggesa kerajaan memansuhkan sistem sekolah vernakular dalam masa enam tahun kerana didakwa tidak mampu memupuk integrasi nasional dalam kalangan pelajar berbilang kaum.

Pembentang resolusi kluster pendidikan yang merupakan pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris, Nurul Fatin Aqilah Rahim berkata, kerajaan perlu terus komited pada agenda memperkasakan sekolah kebangsaan.

Menurut Wee, kongres semalam, yang turut dihadiri Dr Mahathir Mohamad yang juga perdana menteri, menimbulkan persoalan apakah ia (penghapusan sekolah vernakular) merupakan pendirian rasmi kerajaan.

“Adalah amat penting untuk kerajaan hari ini menjawab perkara ini. Tolonglah jangan berdiam diri atau mengelak untuk jawab isu ini. Untuk kita, di pihak MCA kita sudah nyatakan pendirian kita,” katanya.

Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan beberapa buah universiti awam tempatan itu menyaksikan kehadiran pemimpin Melayu daripada parti pembangkang, termasuk PAS dan Umno, pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan pertubuhan bukan kerajaan.

Antara usul yang mendapat perhatian ialah cadangan ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadli Shaari yang mahu Putrajaya melantik hanya orang Melayu beragama Islam ke jawatan utama di peringkat negeri dan pusat.