Utusan lepas 70% ekuiti Dilof kepada pemegang saham utama Media Prima

Utusan Melayu (M) Berhad berkata Aurora Mulia dipilih kerana syarikat tersebut merupakan pemegang saham utama Media Prima Berhad.

KUALA LUMPUR: Utusan Melayu (Malaysia) Bhd (UMMB) akan melepaskan 70% pegangan dalam anak syarikatnya Dilof Sdn Bhd kepada Aurora Mulia Sdn Bhd.

UMMB berkata pelepasan pegangan dalam Dilof itu adalah untuk memastikan kesinambungan penerbitan kedua-dua akhbar arus perdana itu.

“Ia untuk memastikan akhbar Utusan Malaysia yang telah berusia 80 tahun tidak dikuburkan dan akhbar Kosmo! yang berusia 15 tahun dapat diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dilof merupakan anak syarikat 100 peratus milik UMMB yang kini merupakan pemegang permit menerbitkan dua akhbar berbahasa Melayu berpengaruh iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo!.

UMMB kini berhadapan dengan masalah aliran tunai dan pelaburan dalam Dilof akan membolehkan suntikan kewangan daripada Aurora Mulia dan seterusnya memastikan penerbitan kedua-dua akhbar ini dapat diteruskan.

Menurut UMMB, Aurora Mulia dipilih kerana syarikat tersebut merupakan pemegang saham utama Media Prima Berhad.

Pelaburan itu juga bakal menyaksikan penggabungan jabatan-jabatan sokongan kepada penerbitan beberapa jenama akhbar utama di negara ini seperti percetakan, pengedaran dan pengiklanan, katanya.