82% keluarga Indonesia ‘tidak sihat’, kata menteri kesihatan

Indonesia meletakkan 12 indikator untuk menilai tahap kualiti hidup rakyatnya termasuk diberikan imunisasi sepenuhnya kepada kanak-kanak. (Gambar Reuters)

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 82% isi rumah Indonesia berhadapan dengan gaya hidup tidak sihat, faktor utama dalam peningkatan kos skim insurans kesihatan nasional, kata Menteri Kesihatannya Nila Moeloek.

Menurut kementerian kesihatan negara itu, terdapat 12 indikator isi rumah sihat iaitu keluarga mesti mempunyai insurans kesihatan, mesti mengikuti program perancangan keluarga, ibu dikehendaki bersalin di hospital, pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak mesti dipantau, mereka mesti diberikan susu ibu bila boleh dan diberikan imunisasi sepenuhnya.

Keluarga sihat juga harus mempunyai akses kepada kemudahan tandas dan air bersih.
Sesiapa yang mengalami batuk kering dalam keluarga harus menjalani rawatan dan anggota keluarga yang mengalami hipertensi perlu menerima pemeriksaan biasa.

Rumah yang tiada perokok juga mendapat markah tinggi di peringkat kesihatan kementerian.

“Berdasarkan kajian keluarga kami terbaru ini, hanya 18 peratus keluarga memenuhi semua petunjuk ini. Ia sangat rendah dan selebihnya, 82 peratus, tidak sihat,” kata Nila dipetik Jakarta Globe.

Beliau berkata, sebagai akibatnya, banyak penyakit yang boleh dicegah dengan mengikuti
gaya hidup sihat, kini memberi kesan kepada ramai rakyat Indonesia.

Data dari skim insurans kesihatan nasional, BPJS Kesihatan, menunjukkan menyediakan rawatan untuk penyakit tidak berjangkit dan penyakit kritikal menelan sebahagian besar perbelanjaan tahunan.

Agensi pemerintah membelanjakan Rp78 trilion (RM23 bilion) dari 2014 hingga 2018 atau sekitar 17% dari jumlah peruntukan untuk menyediakan rawatan bagi penyakit jantung, kegagalan ginjal dan kanser.

Dalam tempoh sama, BPJS Kesihatan merekodkan defisit terkumpul melebihi Rp9 trilion (RM9 bilion).

Indonesia juga merupakan ‘suryga’ bagi perokok. Dua pertiga daripada rakyat dewasanya atau 64 juta orang, adalah perokok, menurut agensi pemantau global The Tobacco Atlas.

Badan itu menganggarkan penyakit berkaitan dengan merokok membunuh sekitar 226,000 orang di Indonesia setiap tahun.

“Semua penyakit ini boleh dikawal dengan gaya hidup sihat. Mereka dengan hipertensi dapat mengelak risiko kegagalan jantung jika mereka hidup sihat,” kata Nila.

Menteri kesihatan berkata rakyat Indonesia perlu mendapatkan pemeriksaan perubatan setiap enam bulan atau sekurang-kurangnya setahun sekali.

“Aktiviti fizikal, sukan, sentiasa baik, dan pergi berjalan-jalan tidak akan menelan apa-apa,” kata Nila.