Dana 1MDB: Nazir Razak akan temui SPRM

Nazir Razak berkata beliau berhasrat untuk bertemu dengan SPRM bagi menyelesaikan isu berkenaan dengan dana 1MDB. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi CIMB Nazir Razak akan bertemu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyelesaikan isu berhubung dakwaan wang daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dipindahkan ke akaun miliknya.

Dalam kenyataan hari ini, Nazir mengakui beliau, seorang sering lantang mengkritik isu 1MDB, dan cerita bahawa ada dana mengalir ke akaunnya, mungkin berpunca daripada 1MDB, adalah sesuatu yang “amat mengganggu jiwa”.

“Saya berhasrat untuk bertemu dengan SPRM bagi menyelesaikan perkara ini. Saya amat menghormati tugas-tugas yang dilaksanakan mereka bagi mengembalikan dana 1MDB, dan akan membantu mereka sebaik mungkin,” katanya.

Semalam SPRM mengeluarkan notis kompaun kepada 80 individu dan entiti yang menerima wang berjumlah RM420 juta dipercayai daripada 1MDB, dengan Nazir didakwa menerima jumlah tertinggi, menjangkau RM25.7 juta.

Nazir, adik kepada bekas perdana menteri Najib Razak, berkata beliau sebelum ini pernah mengesahkan abangnya itu memindahkan RM25.7 million ke satu akaun di bawah namanya pada 2013.

Beliau berkata dana itu kemudiannya diagihkan secara tunai sepenuhnya kepada wakil Najib bagi apa yang difahamkan untuk tujuan kempen pilihan raya.

“Tidak ada satu sen pun ditinggalkan atau digunakan oleh saya,” kata Nazir dan menambah, beliau berbuat demikian dengan niat baik bagi mematuhi permintaan abangnya untuk membantu dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-13.

“Ketika itu saya dimaklumkan dana itu berasal dari pengumpulan dana politik sah, dan tidak ada sebab untuk saya untuk beranggapan sebaliknya,” katanya.

Nazir berkata apabila dakwaan mengenai hubungan antara 1MDB dan pemindahan dana Najib ditimbulkan media pada April 2016, beliau mengambil cuti secara sukarela dari jawatannya di CIMB bagi membolehkan Lembaga Kumpulan CIMB dan CIMB Bank menjalankan siasatan penuh mengenai apa yang berlaku.

“Mereka berbuat demikian dengan bantuan firma perakaunan serta firma guaman. Saya didapati ‘bersih’, dan dipelawa kembali ke lembaga,” katanya.