Dr M tolak tawaran tubuh kerajaan baru dengan Umno, PAS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak cadangan menggesa beliau membentuk kerajaan baru bersama Umno, PAS serta rakan dari Sabah dan Sarawak.

Mahathir berkata, Malaysia adalah negara yang mempunyai pelbagai kaum sejak ia mencapai kemerdekaan 62 tahun lalu.

“Negara kita berbilang kaum. Dan semua kaum punyai hak dalam negara kita,” kata beliau pada sidang media di lobi bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang menyarankan Mahathir boleh menubuhkan kerajaan baru sekiranya pemimpin itu benar-benar ikhlas mahu menjaga martabat dan maruah orang Melayu.

Menerusi kenyataan di Facebok, Mohamad berkata Umno dan PAS harus diberi peranan signifikan dalam memulihkan negara ini, bukan sekadar menjadi penumpang sehingga menjejaskan kepentingan Islam dan masyarakat Melayu serta pribumi lain.

“Buat masa ini pisau dan mentimun di tangan Mahathir. Tetapi bila tiba pilihan raya akan datang, pisau ini sudah ditangan rakyat.

“Insya-Allah jika Mahathir jujur dan mahu melihat Melayu-Islam menjadi kuasa politik yang kuat, beliau tiada masalah berkompromi dengan Umno dan PAS,” katanya.

Ahad lalu, penganjuran Kongres Maruah Melayu dihadiri pemimpin Umno, PAS dan Pakatan Harapan diketuai Mahathir yang mengetepikan perbezaan politik demi matlamat lebih besar dalam usaha mengembalikan martabat bangsa di Malaysia yang merupakan kaum majoriti.

Antara pemimpin hadir adalah Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa, bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussien dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Noh Omar, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.