FIC beli hotel 50% melebihi harga pasaran, kata saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan rasuah bekas pengerusi Felda, Isa Samad hari ini diberitahu sebuah hotel di Kuching dibeli kira-kira 50 peratus lebih tinggi daripada harga pasaran.

Azlan Mohamed Ismail, pemangku ketua pegawai kewangan di Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), berkata ia berdasarkan penilaian semula ke atas Hotel Merdeka Palace & Suites pada 2017.

Katanya, lembaga pengarah baru Felda yang dipengerusikan Shahril Abdul Samad, mengarahkan penilaian semula itu dilakukan susulan dakwaan ia dibeli pada harga tinggi.

Isa yang digantikan Shahril sebagai pengerusi dan pengarah Felda serta anak syarikatnya, FIC.

FIC membeli hotel itu pada 2014 dengan harga RM160 juta, dilaporkan tanpa mandat badan induknya.

“Penilaian semula oleh CH Williams Talhar Wong & Yeo Sdn Bhd bagi tahun kewangan 2016 mendedahkan hotel itu bernilai kira-kira RM80 juta,” katanya ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.

Azlan yang merupakan saksi pendakwaan keempat, berkata penilaian yang dilakukan Saville (M) Sdn Bhd tahun lalu menunjukkan hotel itu bernilai RM77.5 juta.

“Ia boleh disimpulkan pembelian itu menyebabkan rugi belum terealisasi sebanyak RM82.5 juta kepada Felda dan FIC.”

Terdahulu, peguam Isa, Salehuddin Saidin membantah laporan penilaian semula dalam keterangan saksi Azlan dengan berkata, anak guamnya berdepan dakwaan jenayah kerana tidak mendapat kelulusan Felda.

“Bukti penilaian itu tiada kaitan dengan pertuduhan dan sebahagian bukti itu perlu disingkirkan.”

Bagaimanapun, Afzainizam berkata, ini untuk menunjukkan hartanah itu dibeli melebihi harga pasaran.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan laporan penilaian semula itu boleh dikekalkan dalam keterangan saksi Azlan untuk menunjukkan ketidakjujuran tertuduh yang menyebabkan kerugian salah kepada FIC.

Isa berdepan satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan dakwaan menerima suapan lebih RM3 juta dalam meluluskan cadangan membeli hotel itu bagi FIC.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, antara 29 Apr 2014 hingga 11 Dis 2015.

Ketika ditanya Afzainizam, Azlan berkata, hotel itu masih beroperasi dan tidak dijual kepada pihak lain.