Hebat… Polis wanita jadi ‘bidan’ sambut kelahiran bayi dalam teksi

Bukan sahaja menangkap penjenayah atau memerangi sebarang keganasan, polis juga bersedia untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.

Dan inilah yang berlaku terhadap seorang anggota polis wanita yang secara tiba-tiba menjadi “bidan terjun” apabila menyambut kelahiran seorang bayi lelaki ketika mengiringi ibu bayi terbabit yang dalam perjalanan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Lans Koperal N Komathi, 27 membantu kelahiran bayi berkenaan di dalam sebuah teksi kira-kira 3.40 petang semalam selepas wanita warga Indonesia itu datang ke Pondok Polis Terminal Bas Salak Selatan (TBS) sebelum mengadu sakit perut dan mahu bersalin.

Perkara tersebut dikongsi melalui sebuah posting laman Facebook Balai Polis Salak Selatan Baru dengan memuat naik beberapa keping gambar.

Dimaklumkan bahawa ibu dan bayi terbabit dalam keadaan sihat dan selamat namun masih mendapatkan rawatan di hospital terbabit.

Suami wanita itu turut dihubungi bagi memaklumkan perkara berkenaan.

Keprihatinan anggota polis itu tular di Facebook dengan menerima 3,900 tanda suka dan lebih 1,700 perkongsian serta reaksi positif netizen.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan, anggota polis wanita terbabit yang dilahirkan di Ipoh, Perak adalah anak ketiga daripada empat adik beradik.

Memulakan kerjaya dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 16 Januari 2016 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Selepas tamat latihan, dia ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Pulau Pinang sebelum bertukar ke Balai Polis Salak Selatan Baru pada Mac 2017.

Komathi yang sudah berkahwin dengan seorang anggota polis yang kini bertugas di Balai Polis Sungai Besi dan dikurniakan dengan dua cahaya mata.

Terdahulu, tindakan pantas anggota terbabit membantu wanita warga Indonesia itu tular selepas ia dikongsikan di media sosial.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]