Ideas syor GST lebih progresif ganti SST

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi mencadangkan GST lebih progresif diperkenalkan bagi menggantikan SST bagi merangsang ekonomi negara. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mencadangkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) lebih progresif diperkenalkan bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Felow Kanan Ideas Carmelo Ferlito berkata langkah itu penting bagi menguruskan keadaan ekonomi yang merosot.

Ia merupakan salah satu daripada tiga syor dikemukakan badan pemikir itu ketika polemik mengenai SST dan GST semakin diperkatakan.

Banyak pihak mengesyorkan supaya GST kembali dilaksanakan.

“Pertama, yang diperbaharui, GST lebih progresif untuk menggantikan SST sedia ada dan berkontroversi.

“Yang penting, pengenalan semula GST perlu dilakukan dalam cara boleh mengatasi kebimbangan yang membawa kepada penghapusan (GST) termasuk beban cukai jatuh tidak seimbang yang membebankan kelas pertengahan,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, Ferlito mencadangkan pengenalan kadar GST berbeza untuk pembelian berbeza, termasuk kadar “mewah” yang lebih tinggi untuk pembelian yang berkaitan dengan isi rumah pendapatan tinggi.

Ferlito berkata, kitaran perniagaan adalah sesuatu sukar dielakkan dan penggubal undang-undang sepatutnya mewujudkan satu set peraturan untuk melindungi ekonomi daripada terjejas dan memberi impak apabila pasaran ekonomi perlahan.

Beliau mencadangkan kadar GST berbeza diperkenalkan untuk pembelian barang yang berbeza, termasuk kadar tinggi untuk untuk isi rumah mempunyai pendapatan tinggi.

Di Dewan Rakyat pagi tadi, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak berhasrat melaksanakan semula GST, sebaliknya akan memperbaiki SSt yang dilaksanakan sejak 1 Sept tahun lalu.

“Semasa GST diperkenalkan dahulu, kita dengar banyak rintihan daripada rakyat, mereka bayar cukai dua kali sebab itu kita berpendapat, kita perlu kembali laksanakan SST dan ini sedang berjalan di samping kita perlu baiki pelaksanaan cukai baru ini.

“Tidak ada sebabnya kita akan kembali kepada GST yang ditolak rakyat dahulu,” katanya.

Kerajaan terdahulu melaksanakan GST mulai 1 April 2015, tetapi dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

Kedua, menurut Ferlito, cukai laba modal (CGT) progresif terhadap keuntungan diterima daripada aset yang dihapuskan termasuk saham syarikat.

“Cukai ini diinspirasi daripada model dicadangkan Hanusch and Wackermann dan ia membantu dalam menguruskan kitaran perniagaan yang ekstrem,” kata beliau.

Jelas beliau, GST dapat membantu dalam spekulasi pelaburan dan ketika ekonomi tidak berkembang serta menggalakkan pelabur membiarkan wang di pasaran modal untuk menyokong pembangunan yang lebih kukuh.

Cadangan ketiga yang dikemukakan Ferlito adalah mengurangkan cukai pendapatan untuk mengimbangi kenaikan cukai secara tidak langsung yang diperkenalkan bersama GST dan CGT.