India tarik balik nasihat perjalanan di Kashmir Khamis ini

Perkhidmatan telefon dan internet digantung manakala pergerakan awam dihadkan di sesetengah kawasan bagi menghalang protes, beberapa jam sebelum India mengumumkan ia mahu membatalkan status khas Khasmir. (Gambar Reuters).

SRINAGAR: India akan menarik balik nasihat perjalanan di Kashmir pada Khamis ini, kata pihak berkuasa, dua bulan selepas kerajaan mengenakan tindakan tegas sebelum membatalkan status istimewa di wilayah itu.

Beribu-ribu pelancong India, jemaah dan pekerja melarikan diri dari wilayah majoriti Islam itu awal Ogos lalu selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran keselamatan terhadap kemungkinan serangan militan oleh kumpulan disokong Pakistan, dakwaan dinafikan Islamabad.

Perkhidmatan telefon dan internet digantung manakala pergerakan awam dihadkan di sesetengah kawasan bagi menghalang protes, beberapa jam sebelum India mengumumkan ia mahu membatalkan status khas Khasmir.

Sesetengah sekatan telah ditarik balik. Pada Isnin lalu, media melaporkan ahli-ahli parti Persidangan Kebangsaan dibenarkan bertemu dengan dua pemimpin kanan ditahan dalam tindakan keras New Delhi.

Bagaimanapun, sebahagian besar perkhidmatan mudah alih dan internet masih disekat di lembah Kashmir.

Nasihat perjalanan dikeluarkan 2 Ogos akan ditarik balik pada Khamis, kata pemerintah Jammu dan Kashmir dalam kenyataan semalam.

Kashmir dilabel sebagai “Syurga di Bumi” dan terkenal dengan panorama gunung, glasier dan Tasik Dal, destinasi kegemaran berabad-abad lalu untuk maharaja Mughal melarikan diri dari musim panas di dataran India.

Bagaimanapun, Britain dan negara-negara lain masih menasihatkan warga agar tidak melawat Jammu dan Kashmir, di mana serangan bom tangan mencederakan 10 orang hujung minggu lalu.

Kashmir dibahagikan antara India dan Pakistan, dan kedua-duanya mendakwa wilayah itu sepenuhnya milik mereka. Lebih 40,000 orang terbunuh dalam pemberontakan di bahagian India Kashmir sejak 1989.

Kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi berkata pembatalan status khas negara perlu untuk mengintegrasikan sepenuhnya ke seluruh India dan merangsang pembangunan. Pengkritik mengatakan keputusan itu akan membawa kepada pengasingan susulan dan tentangan bersenjata.