Isa tahu Felda had pelaburan FIC pada RM100 juta, kata saksi

KUALA LUMPUR: Bekas pengerusi Felda Isa Samad tahu semua pelaburan oleh anak syarikat, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) tidak boleh melebihi RM100 juta, kata saksi kepada Mahkamah Tinggi hari ini.

Bekas ketua pengarah Felda Hanapi Suhada berkata keputusan itu dibuat oleh lembaga pengarah Felda pada 26 Jun 2013.

“Had RM100 juta ke atas pelaburan itu diputuskan oleh lembaga semasa ia bersidang pada hari itu,” kat Hanapi, saksi kelima pendakwaan kepada Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz.

Beliau berkata menurut minit mesyuarat lembaga, Isa hadir semasa lembaga memutuskan FIC sebagai sebuah anak syarikat mesti mematuhi mandat ke atas semua pelaburan itu.

Hanapi berkata lembaga Felda juga melantik Isa sebagai pengerusi lembaga FIC, dan orang sebelumnya, Ketua Pengarah Felda Faizoull Ahmad dan timbalannya, Muhammad Sufi Mahbub sebagai ahli lembaga.

FIC diperbadankan pada 2 Julai 2013 sebagai syarikat pelaburan Felda.

Hanapi berkata lembaga Felda kemudian melantiknya ke FIC pada 8 Julai 2015 hingga 6 Jun 2017.

Beliau berkata Isa mempengerusikan semua mesyuarat lembaga FIC dan boleh menandatangani pembayaran berdasarkan had kewangan yang dibolehkan kerana ada resolusi.

Isa didakwa atas satu tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan sembilan dakwaan menerima suapan lebih RM3 juta dalam meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites untuk FIC.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, antara 29 Apr 2014 hingga 11 Dis 2015.

Perbicaraan didepan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali diteruskan.