Jho Low bawa masuk orang ke TIA, kata saksi

Shahrol Azral Ibrahim Halmi (dua dari kanan).

KUALA LUMPUR: Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho membawa masuk kroninya ke Terengganu Investment Authority Berhad (TIA).

Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata demikian semasa disoal balas peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib Razak, pada hari ke-18 perbicaraan bekas perdana menteri itu yang membabitkan dana 1MDB.

Shafee: Jho Low meletakkan orangnya seperti Jasmine Loo (peguam 1MDB), Terence Geh (pengarah 1MDB) dan Casey Tang (pengarah eksekutif 1MDB).

Shahrol: Saya tidak menyedari perkara ini berlaku.

Shafee: Kamu tidak menyedari ia merupakan rancangan Jho Low untuk meletakkan orangnya ?

Shahrol Azral: Ya, sekarang ini agak jelas. Tetapi pada 2009, saya melihat beliau sebagai seorang wakil TIA yang ikhlas.

“Pada awalnya, semasa kami mengumpul dana, beliau juga bercakap bagi pihak Najib (sebagai menteri kewangan ketika itu),” katanya.

Saksi pendakwaan kesembilan itu memberitahu mahkamah beliau juga ingat tidak lama selepas beliau dilantik sebagai CEO, Jho Low dan Casey berunding dengan bank berhubung bon jaminan kerajaan untuk TIA.

TIA dinamakan sebagai 1MDB pada Sept 2009.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.