Kajian rintis pilihan raya kerajaan tempatan 2021, kata Zuraida

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata kementeriannya dalam proses menyediakan kertas cadangan dasar pelaksanaan semula pilihan raya kerajaan tempatan.

KUALA LUMPUR: Memorandum Kabinet mengenai cadangan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan (PRKT) dijadualkan dibentang di Parlimen pada Jun 2020.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata kementerian kini dalam proses menyediakan kertas cadangan dasar pelaksanaan semula PRKT.

“Justeru, PRKT tidak akan dilaksanakan sehingga mendapat kelulusan dasar Jemaah Menteri yang harus mengambil kira tempoh dan kos pelaksanaan,” katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman web Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta kementerian perumahan dan kerajaan tempatan menjelaskan jangka masa bagi pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di Malaysia.

Menurut Zuraida, bagi penyediaan kertas cadangan tersebut, pihaknya telah melaksanakan tiga siri bengkel Kajian Kebolehlaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan sepanjang 2018 dan 2019.

“Bengkel itu juga melibatkan perbincangan mengenai kertas pindaan Akta Kerajaan Tempatan untuk pertimbangan dan persetujuan jemaah menteri di mana kertas cadangan pindaan ini dijangka dibawa untuk kelulusan Parlimen pada bulan Oktr 2020,” katanya.

Zuraida berkata kajian rintis PRKT dijangka dilaksanakan pada 2021 setelah kelulusan jemaah menteri dan Parlimen diperoleh.