Kempen #BoycottMalaysia tak jejas hubungan Malaysia-India, kata menteri

Saifuddin Abdullah berkata, kempen #BoycottMalaysia yang dilancarkan beberapa pihak di India baru-baru ini sudah reda.

KUALA LUMPUR: Hubungan Malaysia dan New Delhi tidak terjejas dengan kempen #BoycottMalaysia yang dilancarkan beberapa pihak di India, susulan kenyataan Dr Mahathir Mohamad mengenai konflik di Jammu dan Kashmir pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bulan lalu.

“Kita telah buat analisa dan kita yakin boikot itu semakin menurun dan boleh kata sudah tidak ada hari ini,” kata Menteri Luar, Saifuddin Abdullah di Dewan Rakyat hari ini.

“Saya yakin ia tidak jejas kedudukan Malaysia di persada antarabangsa dan saya juga yakin ia tidak jejas hubungan dua hala antara India dan Malaysia,” katanya menjawab soalan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) berhubung kesan kempen #BoycottMalaysia.

Pada 27 Sept lalu, ketika berucap pada Perhimpunan Agung PBB ke-74 di New York, Mahathir dilaporkan berkata, Jammu dan Kashmir “diceroboh dan diduduki”, oleh itu beliau meminta India bekerjasama dengan Pakistan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Saifuddin berkata, Malaysia kekal dengan dasar berkecuali dan akan berkawan serta berdagang dengan semua negara, kecuali Israel.

Di sebalik amalan tidak campur tangan hal ehwal dalaman negara lain, katanya, kerajaan tidak akan menutup mata terhadap penindasan yang berlaku di negara lain demi menjaga hubungan diplomasi.

“Begitu juga dengan isu Kashmir, sementara kita jaga kepentingan hubungan dua hala seperti politik, sosio dan budaya antara Malaysia dan India, takkanlah hubungan diplomasi perlu dijaga sehingga kita tidak mengambil apa-apa peranan sekiranya berlaku sesuatu yang menggugat atau menusuk kalbu.

“Ini bukan soal umat Islam, tetapi golongan yang tertindas di mana kita harus bersuara, cuma kaedah kita bersuara harus bijaksana, ada waktu kita (perlu) lantang.”

Saifuddin berkata, India ialah rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia, dengan nilai perdagangan dua hala dijangka melebihi AS$15 bilion.