Isu Foodpanda: Kenyataan Syed Saddiq bukan pendirian kerajaan, kata PM

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sikap angkuh bukan jalan penyelesaian bagi isu bayaran bagi penghantar makanan Foodpanda.

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai syarikat penghantaran makanan dalam talian Foodpanda semalam bukan pendirian kerajaan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata, kenyataan itu ialah pendapat peribadi Syed Saddiq dan tiada sebarang perbincangan diadakan di peringkat Kabinet mengenai perkara berkenaan.

“Itu pendapat dia (Syed Saddiq), dia tidak bincang dalam Kabinet (dan ia) bukan pendirian kerajaan, mungkin dia ada sebab kenapa membuat kenyataan tersebut,” katanya di lobi Parlimen hari ini mengulas kenyataan Syed Saddiq di Twitter semalam yang sikap angkuh bukan jalan penyelesaian bagi isu Foodpanda.

Syed Saddiq dilaporkan berkata, sebagai korporat, Foodpanda dibangunkan oleh pekerja/pengguna, dan boleh dijatuhkan oleh mereka.

Kenyataan itu menyusul Pengarah Urusan Foodpanda Malaysia, Sayantan Das yang berkata, syarikat itu akan mengekalkan skim pembayaran baru untuk penghantar makanan di luar Lembah Klang.

Skim baru itu dibantah penghantar makanan kerana bayaran mengikut jam dimansuhkan, tetapi bayaran setiap pesanan dinaikkan kepada antara RM4.50 hingga RM7.

Di bawah skim lama, penghantar makanan menerima bayaran RM4 sejam dan bayaran tambahan untuk setiap pesanan yang dihantar kepada pelanggan.