Kerajaan digesa pertimbang gaji, skim pensyarah dalam Bajet 2020

MAAC memohon kerajaan menyediakan bajet kepada universiti awam bagi membayar emolumen ahli akademik yang berumur melebihi 65 tahun. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) memohon kerajaan mempertimbang skim dan gaji yang menarik buat pensyarah di negara ini selari dengan sumbangan mereka dalam kesejahteraan rakyat.

Presidennya Mohd Idrus Mohd Masirin berkata peranan ahli akademik di negara ini termasuk dalam era teknologi yang kini semakin pesat membangun amat signifikan menerusi hasil kajian yang dijalankan, seterusnya dapat membantu pembangunan ekonomi negara.

“Bayangkan pada awal 1990-an, penggunaan komputer dan perkembangan teknologi maklumat masih terhad di Malaysia, tetapi selepas 30 tahun, masyarakat Malaysia menikmati alat komunikasi maya seperti internet dan telefon hasil daripada inovasi dan penemuan ilmu oleh saintis dan ahli akademik.

“Peranan ahli akademik di Malaysia sebagai pemangkin teknologi melalui pengajaran dan pembelajaran serta latihan dan penyelidikan menyebabkan rakyat Malaysia sentiasa seiring dengan perubahan teknologi. Apabila dunia bercerita tentang internet, masyarakat di negara ini mampu menggunakannya malah menjadi pengguna tegar,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama, hari ini.

Pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Jabatan Kejuruteraan Infrastruktur dan Geomatik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor, itu berkata apabila kerajaan mula mengintai peluang yang boleh diraih menerusi teknologi rangkaian generasi kelima (5G), sudah tentunya ahli akademik juga perlu menjana idea bagi mengembangkan dan meneroka potensi demi manfaat negara.

“Apabila dunia bercerita tentang telefon pintar dan teknologi 4G atau 5G, kerajaan menyediakan platform yang diperlukan manakala ahli akademik pula akan melatih dan meneroka potensi yang akhirnya rakyat akan mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Selain itu, insentif seperti pemberian elaun Ijazah Kedoktoran (PhD) kepada pensyarah sekiranya diwujudkan kata Idrus, akan meluaskan lagi peluang untuk mereka melanjutkan pengajian dan seterusnya menjalani latihan peningkatan kemahiran mengikut keperluan era teknologi semasa.

“Selain itu, pelaksanaan dasar kebebasan akademik yang adil tanpa prejudis amatlah penting bagi melonjakkan visibiliti (keterlihatan) IPT (Institusi Pengajian Tinggi) di persada dunia. Berdasarkan fakta semasa, bilangan profesor di negara ini tidak melebihi 2,000 orang dan dengan dasar sedia ada, IPTA (institusi pengajian tinggi awam) akan kehilangan perkhidmatan profesor berkenaan apabila umur mereka mencapai 65 tahun.

“Oleh itu, MAAC memohon kerajaan mengkaji semula dasar ini dan menyediakan bajet kepada universiti awam bagi membayar emolumen ahli akademik yang berumur melebihi 65. Kumpulan profesor ini perlu dikekalkan khususnya bagi yang masih sihat dan berminat dengan bayaran emolumen yang menarik dan sesuai dan mereka adalah permata negara,” katanya.