Kes bunuh gajah Pygmy: 5 dibebaskan, 1 didakwa di mahkamah

Polis berkata, lima suspek yang dibebaskan dengan jaminan akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk membantu siasatan seekor gajah Pygmy ditemui mati di hulu Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan pada 26 Sept lalu.

TAWAU: Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Nor Azizulkifli Mansor berkata, lima daripada enam suspek yang disyaki terbabit dalam pembunuhan seekor gajah Pygmy yang ditemui di kawasan hulu Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, dekat sini, dibebaskan dengan jaminan polis.

Seorang lagi suspek yang merupakan pendatang haram dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini bagi pertuduhan di bawah Seskyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

“Lima orang yang dibebaskan dengan jaminan ini pun akan terus diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) bagi mereka menyiapkan kertas siasatan,” katanya hari ini.

Pada 3 Okt lalu, keenam-enam suspek yang terdiri daripada lima warga tempatan dan seorang pendatang haram direman empat hari dan kemudian disambung dua hari lagi yang berakhir hari ini.

Dalam pada itu, Pegawai JHL Tawau, Sailun Aris berkata pihaknya sedang meneliti dokumen berkaitan kes itu dan sebarang maklumat akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, seorang lelaki Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan tidak memiliki pas atau permit sah menduduki negara ini.

Tertuduh, Osman Ghafar, 48, membuat pengakuan itu di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi (bersidang sebagai Hakim Mahkamah Sesyen), Amir Shah Amir Hassan, selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Osman didakwa melakukan kesalahan itu di Felda Umas, Kalabakan pada 1.30 pagi 2 Okt lalu.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1963.

Amir Shah kemudian menetapkan 22 Okt ini sebagai sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Dayan Nur Azarinahwaty Ag Kachee.

Tertuduh yang juga buruh kasar antara enam lelaki ditahan polis dalam Ops Khazanah pada 2 Okt lalu, bagi membantu siasatan kes gajah Pygmy yang ditemui mati di Sungai Udin oleh sekumpulan pemancing pada 26 Sept lalu.