Kes sumbang mahram dituduh meningkat, cabul menurun

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong

KUALA LUMPUR: Bilangan kes sumbang mahram dituduh di mahkamah tahun ini meningkat berbanding 2018, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.

Beliau berkata sehingga Ogos, 57 kes direkodkan berbanding 21 kes sepanjang tahun lepas.

Menurutnya, 35 kes sumbang mahram tahun ini direkodkan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) berbanding tujuh tahun lepas.

“Bagi kes seksual rogol, bilangan kes yang dituduh di mahkamah setakat Ogos adalah 269 manakala tahun lepas pula mencatatkan 481 kes,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang dipaparkan di laman web Parlimen.

Dalam pada itu, 183 kes cabul dituduh di mahkamah sepanjang lapan bulan pertama tahun ini berbanding 384 sepanjang 2018.

Bagi gangguan seksual, 54 kes direkodkan sehingga Ogos lalu berbanding 90 kes sepanjang tahun lepas.