Kongres Maruah jamin sokongan Melayu memihak PH di Tg Piai?

Kongres Maruah Melayu menghimpunkan pemimpin-pemimpin politik dari semua parti politik memperjuangkan kepentingan orang Melayu.

PETALING JAYA: Kongres Maruah Melayu Ahad lalu melangkaui sempadan politik dan disifatkan simbolik bagi Melayu bersatu tidak akan memberi kesan ketara dalam Pilihan Raya Kecil Tanjong Piai bulan depan, kata seorang penganalisis.

Pilihan raya kecil itu diadakan sebulan selepas kongres tersebut berlangsung.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, perhimpunan itu merupakan simbolik kepada perlunya Melayu bersatu dan kuat serta menjadi suara dominan, dan bukannya lagi sebagai serpihan politik dalam enam parti utama di negara ini.

“Perhimpunan ini tidak perlu dibimbangi kaum lain kerana apabila orang Melayu bersatu, maka tidak ada perpecahan yang teruk berlaku dalam politik Melayu. Ini membolehkan kerajaan memfokuskan isu pembangunan dan ekonomi dgn lebih baik lagi,” katanya.

Ditanya sama ada keterbukaan Pakatan Harapan menjalin kerjasama dengan parti Melayu pembangkang bakal menyaksikan sokongan kaum Melayu kepada parti kerajaan akan meningkat, Azman berkata perkara itu nampak sukar termasuklah dalam PRK Tanjong Piai.

“Meskipun sebelum ini terdapat dakwaan kongres ini didalangi parti dalam PH, namun begitu dalam PRK terdekat ini tak semestinya ia memihak kepada PH khususnya PPBM,” kata beliau.

Beliau juga tidak menolak terdapat tafsiran politik baru dengan kongres kali ini di mana kemungkinan PAS, Umno, PPBM dan sebahagian pemimpin Melayu dalam Amanah dan PKR akan membentuk gabungan politik baru.

“Ia juga ditafsir sebagai mengulang sejarah seperti pembentukan Barisan Nasional dalam bentuk gabungan kerjasama politik dan penyatuan pemimpin Melayu.

“Mahathir perlu menjawab kemungkinan-kemungkinan ini berlaku, kerana terdapat cakap-cakap politik bahawa sedang mengumpul sejumlah sokongan untuk mencapai ke arah tersebut,” katanya.

Pemimpin politik Melayu mencipta sejarah tersendiri apabila bersatu diatas satu pentas buat pertama kali selepas Pilihan Raya Umum ke-14 Mei.

Walaupun penganjuran program bukan atas dasar kepartian, kehadiran pemimpin PAS, Umno di pentas Kongres Maruah Melayu bersama pimpinan Melayu dari PH, diketuai Dr Mahathir Mohamad mengetepikan perbezaan fahaman politik antara mereka demi matlamat lebih besar dalam usaha mengembalikan martabat bangsa di Malaysia yang merupakan kaum majoriti.

Antara pemimpin hadir berada di atas satu pentas bersama Mahathir, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa, bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussien dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Noh Omar, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Kongres Maruah bukan agenda politik

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Azmi Hassan berkata beliau tidak melihat Kongres Maruah Melayu mempunyai agenda politik sebaliknya lebih kepada membincangkan soal dan kedudukan Orang Melayu.

Azmi berkata, jika kehadiran pimpinan Melayu dari pembangkang dan kerajaan itu dibayangi kepentingan politik ia akan menggagalkan matlamat utama kongres.

“Himpunan ini ada manfaatnya kerana ia menjadi medan membincangkan banyak perkara berkaitan Orang Melayu, membaiki kedudukan Melayu dalam pendidikan dan ekonomi terutamanya, resolusi yang disampaikan kepada kerajaan diharap dapat dilaksanakan.

“Perbahasan di kongres juga dilakukan oleh mereka bukan orang politik dan atas dasar itu saya berpendapat ianya bukan himpunan politik.

“Harapnya konvensyen ini tidak dibayangi oleh orang politik atau politik kepartian, jika dibayangi maka objektif kongres akan gagal,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata kandungan resolusi yang dibentang banyak menekankan kepada kesepaduan Melayu.

Katanya, keberadaan pemimpin politik Melayu di atas satu pentas juga tidak bermakna ia akan diterjemahkan dalam pilihan raya umum akan datang kerana pertembungan antara parti Melayu tetap akan berlaku melibatkan kerajaan dan pembangkang.

“Ideanya kesepaduan membawa maksud sepadu dalam politik iaitu semua Melayu berpayung pada parti politik yang sama, tapi ini sukar dicapai sebab itu pertembungan dalam politik sesama Melayu pasti akan berlaku.

“Tetapi Melayu walaupun berseteru dalam politik mereka boleh bersatu dalam bidang lain seperti ekonomi dan pendidikan. Jadi berseteru dalam politik bukan titik noktah Melayu jadi lebih kuat,” katanya.

Azmi mengakui keberadaan pemimpin politik Melayu di atas satu pentas akan mendatangkan kegusaran kepada bangsa lain.

“Sejarah telah membuktikan bahawa jika Melayu pegang tampuk kuasa politik kepentingan kaum lain tidak pernah terabai.

“Jadi sebenarnya jika Melayu bersatu, kebaikannya juga akan tempias kepada semua,” kata beliau.