Lelaki mandul berisiko untuk mendapat kanser prostat

Di Sweden, pelaksanaan rawatan ketidaksuburan wajib dilaporkan untuk tujuan rekod.

Melalui analisis data yang dibuat pada tahun 1994 sehingga tahun 2014, hasil kajian mendapati bahawa terdapat insiden yang tinggi dalam kalangan lelaki yang tidak subur untuk mendapat kanser prostat.

Populasi berisiko mendapat kanser prostat

Menurut Data Kanser Sedunia, pada tahun 2018, kanser prostat merupakan kanser kedua yang kerap melanda kaum lelaki.

Majoriti masyarakat umum mengetahui tentang bahayanya kanser tersebut namun tidak semua tahu berkenaan dengan simptomnya.

Akibatnya, ia kebiasaannya dikenalpasti lewat dan kualiti hidup mereka terjejas serta merta.

Kajian yang dijalankan oleh Universiti Lund, Sweden dan Universiti Perubatan Sofia di Bulgaria ini telah mendapati, lelaki yang mendapatkan anak melalui teknik pembantu reproduktif (assisted reproductive technique) mempunyai risiko sebanyak 64% untuk mendapat kanser prostat.

Sebelum kajian ini dijalankan, pemahaman pada waktu itu berkenaan dengan prostat kanser dan ketidaksuburan adalah tidak jelas.

Sebahagian pengkaji percaya bahawa kualiti sperma yang tidak baik boleh menyebabkannya manakala sebahagian lagi percaya bahawa lelaki yang tidak mempunyai anak tidak berisiko untuk mendapat kanser prostat.

Kajian oleh Universiti Lund ini secara tidak langsung telah membuktikan bahawa lelaki yang tidak subur mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser tersebut.

Pada masa akan datang, populasi lelaki ini disarankan untuk menjalani ujian saringan atau datang secara kerap untuk pemeriksaan fizikal dan biokimia dalam usaha untuk mengesan kanser ini pada tahap awal.

Kaedah suntikan sperma VS kaedah bayi tabung uji

Kaedah bayi tabung uji (IVF) adalah prosedur yang melibatkan proses pengeluaran telur daripada ovari wanita.

Telur tersebut akan disenyawakan dengan sperma lelaki di dalam makmal sebelum ia dimasukkan semula ke dalam rahim.

Kaedah ini merupakan kaedah yang popular kerana sejak ia diperkenalkan di Malaysia, ia telah berjaya melahirkan kira-kira 5 juta bayi.

Menurut kajian oleh Universiti Lund, berbanding dengan kaedah suntikan sperma (ICSI), lelaki yang menggunakan teknik IVF mempunyai 31% risiko lebih rendah untuk mendapat kanser prostat.

Perlu diingatkan di sini bahawa risiko untuk mendapat kanser prostat tidak ada kena mengena dengan jenis prosedur, tetapi ia bergantung kepada seteruk manakah tahap kualiti sperma lelaki tersebut.

Bagi mereka yang mempunyai kualiti sperma yang teruk, ICSI merupakan langkah terbaik untuk mereka mempunyai anak.

Kajian ini telah mendapati, populasi lelaki yang menggunakan kaedah ICSI mempunyai risiko setinggi 64% untuk mendapat prostat kanser.

Salahkan genetik?

Soalan yang selalu bermain dalam pemikiran manusia; jadi salah siapa?

Menurut kajian, kedua-dua masalah ketidaksuburan dan kanser prostat disebabkan oleh kecacatan pada kromosom Y.

Bagaimanapun, ini tidak menjelaskan hubungan antara ketidaksuburan dan kanser prostat.

Bagaimana kedua-dua pembolehubah tersebut bertindak bagi meningkatkan atau merendahkan risiko untuk mendapat kanser prostat adalah masih tidak diketahui.

Faktor risiko untuk mendapatnya tidak tertumpu kepada genetik semata-mata.

Mereka yang mempunyai masalah obesiti, mengamalkan pemakanan tinggi lemak dan/atau mempunyai penyakit kronik metabolik seperti hipertensi dan kencing manis berisiko untuk mendapat kanser ini.

Secara konklusinya, sebelum kita menyalahkan sesiapa, kita perlu sedar bahawa kanser ini tidak disebabkan oleh satu faktor semata-mata.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]