Malaysia komited tangani orang tidak bernegara

Malaysia menerima sejumlah besar orang tidak bernegara dari rantau Asia terutamanya dari Myanmar dan jumlahnya semakin bertambah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata isu orang tidak bernegara adalah masalah kritikal yang memerlukan perhatian antarabangsa.

Beliau berkata Malaysia sendiri berdepan dengan lambakan orang tidak bernegara dari rantau Asia sejak sekian lama dan jika tidak ditangani, ia memberi impak negatif bukan sahaja kepada negara terbabit bahkan seluruh rantau.

“Walaupun kita tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, kita sebaliknya menerima sejumlah besar orang tidak bernegara dari rantau Asia terutamanya dari Myanmar dan jumlahnya semakin bertambah.

“Kesannya, kita bukan sahaja terpaksa menanggung beban kewangan sebagai tuan rumah, malahan perlu menangani pelbagai risiko keselamatan dan masalah sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam wakil negara tentang orang tidak bernegara di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Muhyiddin berkata kerajaan Malaysia tetap komited untuk memperkukuhkan kerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi PBB Mengenai Pelarian (UNHCR) dalam usaha menangani masalah ini.

Muhyiddin tiba pada Ahad dalam lawatan kerja 4 hari ke Geneva untuk menghadiri Persidangan Peringkat Tinggi Berhubung Orang Tanpa Negara yang merupakan salah satu program 70th Session of the Executive Committee (ExCom) of UNHCR.

Muhyiddin dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Filippo Grandi, Pesuruhjaya Tinggi UNHCR bagi membincangkan peranan Malaysia dalam menyokong pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan serta membincangkan pengurusan pelarian dan pencari suaka di Malaysia.