Nabi suruh lantik kaum dominan jadi ketua, kata PAS

KUALA LUMPUR: PAS berkata melantik kaum dominan jadi ketua akan menunjukkan kestabilan, berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad.

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dominasi kerajaan mestilah daripada kaum majoriti bagi kestabilan.

“Dominasi itu yang dianggap sebagai benda yang penting,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

“Dalam Islam pun, kalau tengok pada hadis nabi, nabi suruh lantik kaum yang mendominasi bagi satu kaum itu mengetuai, sebab ia akan menunjukkan kestabilan,” tambahnya.

Beliau berkata negara mengecapi kestabilan 60 tahun sebelum ini, tetapi kegelisahan dapat dilihat hari ini.

“Sekiranya dominasi itu tidak ada, memang akan timbul pelbagai persepsi dan ini yang sedang berlaku hari ini,” tambahnya.

Tuan Ibrahim menjawab pertanyaan pemberita yang ingin tahu berat keperluan menubuhkan kerajaan berdasarkan bangsa dan agama.

Pemberita meminta reaksinya selepas Pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak cadangan Umno menubuhkan kerajaan baru dengan kerjasama Barisan Nasional, PAS, dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak jika mahu kedudukan Melayu dan Islam dipulihkan dan diperkasakan.

“Namun Umno dan PAS harus diberi peranan yang signifikan,” kata Timbalan Presiden Mohamad Hasan di Facebook hari ini.

Tuan Ibrahim sudah menjangkakan jawapan Mahathir, mengingatkan apa yang penting ialah rakyat gelisah dengan keadaan semasa.

Beliau menambah Umno hanya menawarkan suatu penyelesaian tetapi “terpulang kepada Mahathir”.

“Sekarang rakyat gelisah dengan aset negara yang dijual, hutang negara makin meningkat, rakyat makin susah, jadi ke mana hala tuju?” katanya.