Oksana terpaksa jual cincin kahwinnya bernilai RM1 juta untuk bayar bil perubatan

Ratu cantik Rusia, Rihana Oksana Gorbatenko yang berkahwin dengan Sultan Muhammad V tahun lalu memberitahu dia terpaksa menjual cincin perkahwinannya bernilai £ 203,000 (kira-kira RM1.05 juta) selepas ditinggalkan ketika sedang mengandung 4 bulan.

Oksana, 27, berkata dia sangat terdesak dan memerlukan wang tunai untuk menampung bil perubatannya di Switzerland apabila dia hampir kehilangan bayi yang dikandungnya.

Tengku Ismail Leon Petra Tengku Muhammad V Faris Petra yang dilahirkan pada 21 Mei lalu dan kini berusia 4 bulan didakwa waris kerabat diraja Kelantan berdepan beberapa komplikasi ketika berada di dalam kandungan lagi.

Sehubungan itu Oksana mendakwa terpaksa menjual cincin rekaan Jacob Arabo iaitu sama seperti dipakai oleh Victoria Beckham tiga kali kurang daripada nilai asalnya.

“Saya tidak akan menyatakan harga saya menjualnya, tetapi ia adalah tiga kali kurang daripada kosnya,” kata Oksana kepada Daily Mail Britain.

Oksana juga menuduh kerabat Kelantan tidak memberi sebarang nafkah yang sewajarnya bagi menampung perbelanjaan rawatan Leon.

Sebelum ini negara kecoh dengan kisah Oksana dengan Sultan Kelantan yang dikatakan bercerai dengan talak tiga.

Penceraian itu turut disahkan oleh peguam Sultan Muhammad, Koh Tien Hua yang memaklumkan pasangan terbabit bercerai talak tiga pada 22 Jun 2019 mengikut undang-undang syariah

FMT telah menghubungi istana Kelantan untuk mendapatkan maklum balas.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]