Pakar jangka tak banyak ‘ole-ole’ menarik dalam Bajet 2020

Penganalisis ekonomi menjangkakan tidak banyak ‘goodies’ menarik yang akan diperolehi rakyat dalam Bajet 2020.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis ekonomi menjangkakan tidak banyak “goodies” atau ole-ole menarik yang akan diperolehi rakyat dalam Bajet 2020 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata ini disebabkan kekangan kewangan oleh kerajaan dan keadaan ekonomi yang suram.

“Tetapi kita harapkan sekurang-kurangnya belanjawan ini gariskan secara terperinci perspektif perkongsian kemakmuran yang merupakan wawasan negara baru menjelang 2030.

“Kita harapkan belanjawan kali ini gariskan apakah elemen-elemen yang akan diliputi dalam perkongsian kemakmuran seperti bagaimana meningkatkan pendapatan,” katanya kepada FMT.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan pada 11 Oktober ini. Peruntukan sebanyak RM314.5 bilion disalurkan untuk Belanjawan 2019 bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’.

Barjoyai berkata paling penting dalam Belanjawan kali ini adalah kerajaan cuba mengimbangi belanjawan dan mengurangkan defisit belanjawan.

Ini kerana, katanya, kerajaan cuba menunaikan janji untuk mendapat defisit 3.2%.

“Maksudnya itu matlamat asal kerana sedang dalam keadaan ekonomi yang agak muram jadi kalau kita dapat imbangi bajet belanjawan ini pun sudah agak satu pencapaiam besar,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga perlu pastikan semua rakyat khususnya kumpulan muda pendapatan rendah (B40) memiliki rumah mampu milik.

“Saya rasa sekurang-kurangnya menteri kewangan akan ada rancangan jangka panjang untuk tiga atau empat tahun akan datang tetapi insentif mungkin tak banyak dilakukan kerajaan.

“Pada tempoh ekonomi agak muram insentif mungkin tak banyak beri kesan untuk pelabur-pelabur asing untuk datang,” katanya.

Seorang lagi penganalisis ekonomi, Mohd Yusof Kasim berkata Bajet 2020 boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi, merangsang ekonomi, cipta peluang pekerjaan dan tarik pelabur asing melabur di Malaysia.

Beliau berkata pendapatan boleh ditingkatkan dengan mengurangkan kadar cukai pendapatan.