Sistem bidaan nombor plat dalam talian selamatkan RM20 juta hasil kerajaan

Mohd Hafiz Shamsani Othman berkata, kutipan hasil dijangka meningkat 50 hingga 200 peratus bagi bidaan setiap siri nombor kenderaan menerusi JPJeBid. (Gambar Bernama)

MELAKA: Pelaksanaan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian menerusi aplikasi JPJeBid dapat menyelamatkan RM15 juta hingga RM20 juta kutipan hasil kerajaan setahun berbanding sistem bidaan secara manual.

Timbalan Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd Hafiz Shamsani Othman berkata, sistem elektronik itu lebih telus kerana tiada campur tangan manusia dan proses pembidaan serta keputusan lebih singkat dan menjimatkan kos dokumentasi.

Berdasarkan rekod, lebih RM29.22 juta hasil bidaan dikutip menerusi 22 siri nombor pendaftaran kenderaan menggunakan aplikasi JPJeBid sejak ia diperkenalkan pada Apr lalu hingga semalam.

“Bidaan secara elektronik melalui JPJeBid menawarkan ketelusan bermula transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat dan pembida boleh mengetahui kedudukan bidaan mereka melalui masa sebenar tanpa sebarang unsur campur tangan manusia, selain mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

“Menerusi sistem ini, kutipan hasil dijangka meningkat 50 hingga 200 peratus setiap kali bidaan siri nombor kenderaan dan setakat ini 87,723 pembida berdaftar di bawah sistem ini,” katanya pada sidang akhbar bidaan Siri MDF Melalui Aplikasi JPJeBid di JPJ Melaka hari ini.

Hafiz Shamsani berkata, sistem itu dijangka dilaksanakan sepenuhnya akhir tahun ini di seluruh negara. Sehingga kini, ia sudah dilaksanakan di Putrajaya, Kuala Lumpur, Sabah, Pulau Pinang, Kedah, Johor, Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan terbaru Melaka pada Khamis ini.

Sementara itu, Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, bidaan siri nombor kenderaan MDF menerusi JPJeBid akan dibuka lima hari bermula 12 tengah malam Khamis ini sehingga 11.59 malam 14 Okt, manakala keputusan akan diumumkan pada 15 Okt.

Antara nombor yang menjadi kegemaran pembida di negeri ini ialah MDF 1 hingga 11, 22, 33, 44, 55, 66, 77, 88 dan 99.

Harga minimum bidaan bagi kategori nombor bernilai utama ialah RM20,000 dengan kenaikan bidaan minimum sebanyak RM1,000, nombor menarik (RM3,000 dengan kenaikan bidaan minimum RM150), nombor popular (RM800 dengan kenaikan bidaan minimum RM40) dan nombor biasa (RM300 dengan kenaikan bidaan minimum RM15).

“Kaedah pembayaran bidaan menerusi kad kredit atau debit tempatan saja dan pembida boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayaran perkhidmatan RM10 bagi setiap nombor yang dibida.”

Beliau berkata, setiap individu yang membida layak memenangi maksimum tiga nombor pendaftaran, manakala pemilik perniagaan atau syarikat tidak melebihi lima nombor kenderaan dengan nombor yang berjaya dibida perlu didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam 12 bulan daripada tarikh pengumuman JPJ negeri atau cawangan.