Subsidi petrol RM1 sehari tak bantu B40, kata PAS

Putrajaya mengumumkan subsidi RM30 untuk kereta dan RM12 bagi motosikal sebulan akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun depan.

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan Program Subsidi Petrol (PSP) sebanyak RM30 untuk kereta dan RM12 bagi motosikal setiap bulan tidak memberi kesan serta makna kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40) kerana tidak setimpal kenaikan kos sara hidup.

Selain B40, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man turut menggesa Putrajaya mengkaji semula PSP dengan mengambil kira kepentingan kumpulan pertengahan 40% (M40), rakyat Sabah dan Sarawak.

“Kita tengok (subsidi) RM1 ini tidak sampai kepada matlamat sebenar untuk mengatasi masalah ini. Saya fikir banyak pihak yang menyuarakan rasa terkejut dengan ini.

“Saya rasa PH gagal menyelesaikan masalah subsidi dan penyelesaian ini tidak konkrit.

“Lebih baik BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) sebab terus kepada rakyat B40. Itu lebih terasa kepada rakyat,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan PSP program untuk golongan berpendapatan rendah bagi mengurangkan kos sara hidup mereka.

Subsidi RM30 untuk kereta dan RM12 bagi motosikal sebulan itu yang akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun depan, akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan.