Tiada sebab kembalikan GST, kata Dr M

Kerajaan terdahulu melaksanakan GST mulai 1 April 2015. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak berhasrat melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), sebaliknya akan memperbaiki cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan sejak 1 Sept tahun lalu.

“Semasa GST diperkenalkan dahulu, kita dengar banyak rintihan daripada rakyat, mereka bayar cukai dua kali sebab itu kita berpendapat, kita perlu kembali laksanakan SST dan ini sedang berjalan di samping kita perlu baiki pelaksanaan cukai baru ini.

“Tidak ada sebabnya kita akan kembali kepada GST yang ditolak rakyat dahulu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) yang ingin tahu hala tuju kerajaan untuk mengembalikan GST, sekiranya ia dikehendaki rakyat.

Kerajaan terdahulu melaksanakan GST mulai 1 April 2015, tetapi dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

Pada 3 Okt lalu, Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan akan mengkaji untuk mengembalikan semula GST, jika itu kehendak rakyat.

Sebelum ini, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mencadangkan Putrajaya memperkenalkan semula GST pada kadar lebih rendah, iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020.

Hari ini, Mahathir mempertahankan keputusan Putrajaya melaksanakan semula SST, walaupun kutipan hasil berkurangan RM20 bilion berbanding RM42 bilion yang disumbangkan GST.

Perdana menteri yakin kutipan SST akan melebihi jumlah kutipan GST pada masa depan, selepas pelaksanaannya ditambah baik.

“Kerajaan terdahulu mendapat khidmat nasihat daripada mereka yang tidak bertauliah, sebab itu mereka perkenal GST. Memang kita dapati kekurangan kutipan cukai (di bawah SST), tapi kekurangan itu bukan kerana SST itu silap.

“Memang apabila sesuatu cukai diperkenalkan, pada mulanya kutipan cukai mengalami kekurangan kerana perubahan yang perlu dibuat pegawai kerajaan dan mereka yang membayar cukai, tapi saya yakin apabila ianya diurus dengan baik, kita akan dapat pulangan cukai melalui SST melebihi kutipan GST,” katanya menjawab soalan tambahan Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang meminta kerajaan menjelaskan kaedah untuk menampung kekurangan RM20 bilion menerusi pelaksanaan SST.

Mahathir berkata, pengelakan cukai tidak berlaku di bawah pelaksanaan SST.

“Tidak berlaku pelarian cukai (dengan SST). Apa yang berlaku sebelum ini ialah cukai dikenakan dua kali dalam satu-satu transaksi menyebabkan rakyat dan peniaga tidak senang dengan GST.”