Tiada program subsidi petrol B40 di Sabah, Sarawak kerana penggunaan rendah, kata menteri

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail.

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata pemilik kenderaan di Malaysia Timur tidak terima program subsidi petrol untuk kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40) kerana penggunaan lebih rendah berbanding Malaysia Barat.

Bercakap kepada pemberita di Parlimen hari ini, Menteri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata harga petrol RON95 di dua negeri itu dikawal dan dihadkan pada RM2.08 seliter, iaitu kadar yang disubsidikan.

Semalam, Saifuddin mengumumkan program subsidi petrol untuk B40 bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Subsidi itu yang akan dilaksanakan pada 1 Januari tahun depan dihadkan kepada RM30 sebulan untuk kereta dan RM12 sebulan untuk motosikal. Ia akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan.

Harga petrol RON95 kemudiannya akan diapungkan di Semenanjung dengan pelarasan dibuat secara berperingkat.

Mengenai pengapungan harga RON95, Saifuddin mengulangi sebarang peningkatan akan dibuat secara beransur-ansur berdasarkan harga minyak pada Januari.

Beliau menambah kenaikan drastik dalam harga akan membawa kesan kepada ekonomi yang tidak dapat diperbaiki, oleh itu Putrajaya akan menggunakan prinsip peningkatan secara beransur-ansur.