Video lucah ‘deepfake’ sasar ahli politik

Laporan Deeptrace mengatakan empat laman web yang didedikasikan untuk pornografi deepfake dilihat oleh lebih 134 juta pengguna.

WASHINGTON: Video yang dikenali sebagai “deepfake” semakin berkembang secara atas talian, kebanyakannya video lucah serta sesetengahnya bermotifkan politik, kata penyelidik keselamatan pada Isnin.

Laporan firma keselamatan Deeptrace mengenal pasti 96% deepfake sebagai “pornografi tidak konsensual” yang menggunakan imej selebriti wanita atau orang lain dalam video yang dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan.

Penyelidik mendapati jumlah video deepfake meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh tujuh bulan terakhir menjadikannya 14,678.

Laporan itu mengatakan empat laman web yang didedikasikan untuk pornografi deepfake dilihat oleh lebih 134 juta pengguna, yang “menunjukkan pasaran untuk laman web yang mencipta dan menganjurkan pornografi deepfake, trend yang terus berkembang kecuali tindakan tegas diambil,” kata ketua pegawai eksekutif Deeptrace Georgio Patrini dalam catatan blog.

Patrini berkata deepfake juga “memberi kesan yang besar dalam arena politik,” dengan memberi contoh kes yang mensasarkan pemimpin politik Malaysia.

“Contoh-contoh ini mungkin merupakan petanda yang paling kuat tentang bagaimana deepfake menjejaskan proses politik,” katanya.

Patrini berkata beberapa kes baru muncul “di mana audio dan imej suara sintetik yang tidak wujud, orang sintetik digunakan untuk meningkatkan kejuruteraan sosial terhadap perniagaan dan kerajaan.”

Laporan itu dikeluarkan di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat bahawa deepfake dapat digunakan untuk memanipulasi pengundi menjelang pilihan raya di Amerika Syarikat dan tempat lain.

Rangkaian sosial yang besar meningkatkan usaha untuk mengesan dan menggagalkan pengedaran video yang dimanipulasi tetapi penganalisis berkata ia semakin sukar untuk menghentikan penyebaran deepfake.