Aktivis Haris Ibrahim bebas dari tuduhan hasutan

Aktivis Haris Ibrahim.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan aktivis Haris Ibrahim daripada tuduhan hasutan berkaitan kenyataan di sebuah forum mengenai pilihan raya umum ke-13 di Kuala Lumpur pada 13 Mei 2013.

Peguam Haris, Haijan Omar berkata mahkamah menerima penghujahan pihak pembelaan bahawa terdapat salah arah dalam dapatan mahkamah bawahan.

“Timbalan pendakwa raya menerima representasi kami berkenaan tiga perkara utama, terutama mengenai salah arah yang dilakukan oleh Mahkamah Sesyen dalam mencapai dapatan bagi mensabitkan anak guam saya.

“Mahkamah membenarkan rayuan berdasarkan penghujahan oleh pihak pembelaan, mengambil perhatian tentang ketiadaan bantahan daripada pihak pendakwaan terhadap representasi oleh kami sebelum ini,” kata Haijan ketika dihubungi FMT.

Panel tiga anggota diketuai Hakim Kamardin Hassan membuat keputusan itu hari ini. Umar Saifuddin Jaafar membuat pendakwaan manakala pasukan pembelaan diketuai Malik Imtiaz Sarwar, Haijan dan Ravin Jay.

Haris disabit kesalahan oleh Mahkamah Sesyen pada 2016 bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan dikenakan hukuman penjara lapan bulan. Tempoh pemenjaraan itu kemudian digantikan dengan denda RM4,000.

Haris dan empat speaker lain di forum itu – aktivis Adam Adli, Safwan anang dan Hishamuddin Rais, dan bekas ahli Parlimen Batu Tian Chua – minta dibicarakan.

Kenyataan itu dibuat seminggu selepas pilihan raya umum ke-13, disebalik dakwaan mengatakan Barisan Nasional menang pilihan raya melalui cara yang tidak adil.

Safwan dan Adam masing-masing dibebaskan daripada tuduhan oleh Mahkamah Rayuan pada 2016 dan tahun lepas.

Bagaimanapun, Tian Chua diberi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,800 pada 2016 manakala Hishamuddin didenda RM5,000 oleh Mahkamah Rayuan.