Angelina Jolie besarkan sendiri 6 anaknya, semakin cantik dan kacak

Ramai peminat Brangelina kecewa setelah pasangan popular Angelina Jolie dan Brad Pitt berpisah pada September 2016 selepas lebih 10 tahun menjalinkan percintaan dan berkahwin secara rasmi pada tahun 2014.

Setelah bercerai, Angelina Jolie memilih untuk menjaga enam orang anaknya secara bersendirian.

Dalam sebuah temubual baru-baru ini, Angelina mula merasakan anak-anaknya semakin dewasa dan banyak perubahan rutin berlaku dalam kehidupannya.

Sedar tak sedar, 6 orang anak (3 anak angkat dan 3 anak kandung) iaitu Maddox, 18, Pax, 16, Zahara, 14, Shiloh, 13 serta pasangan kembar Knox dan Vivienne, 11 sudah besar-besar belaka!

Jom tengok apa perkembangan anak-anak Angelina Jolie terkini.

1. Maddox

Anak sulung Angelina Jolie, Maddox Chivan Jolie Pitt, merupakan anak angkat pertama Angelina Jolie yang berasal dari Kemboja.

Difahamkan ketika proses mengambil anak angkat tersebut, Angelina Jolie sedang melakonkan filem Tomb Raider di sana.

Lahir pada tahun 2001, Maddox yang diberi nama asal Rath Vibol diambil sebagai anak angkat ketika berusia 7 bulan, iaitu pada bulan Mac tahun 2002.

Kini Maddox sedang menyambung pengajiannya di Universiti Yonsei, Seoul, Korea Selatan dalam bidang biokimia.

Maddox pernah terlibat dengan beberapa kerja produksi di belakang tabir dan terlibat dengan beberapa buah filem seperti First They Killed My Father (2017) dan sebuah filem Netflix sekitar 2015 tentang Rejim Khmer, yang diadaptasi daripada sebuah novel oleh Loung Ung.

2. Zahara

Zahara Marley Jolie-Pitt adalah anak angkat Angelina yang berasal dari Ethiopia.

Angelina mengambil Zahara sebagai anak angkat ketika berusia 6 bulan, sekitar bulan Julai 2005.

Zahara dikatakan berasal dari sebuah keluarga yang amat susah dan keluarganya terpaksa meletakkannya di bawah penjagaan sebuah pusat anak yatim di Addis Ababa selepas dilahirkan.

Kini, Zahara telah berusia 14 tahun dan dikatakan paling rapat dengan Shiloh, adiknya iaitu anak kandung pertama Angelina Jolie dan Brad Pitt.

Zahara dilihat kerap menghabiskan waktu bersama Shiloh dengan bershopping atau menghadiri pelbagai acara.

Berdasarkan laporan tabloid, Zahara amat meminati bidang modeling dan pernah menyumbangkan suara dalam filem Kung Fu Panda 3 sebagai Meng Meng.

3. Shiloh

Lahir pada 27 Mei 2006, ramai peminat ternanti-nanti macam mana agaknya rupa anak kandung pertama super couple Jolie-Pitt ketika itu.

Bayangkan, foto-foto pertama ketika Shiloh dilahirkan terjual dengan harga USD$4 juta!

Foto tersebut kemudian menjadi salah satu foto selebriti termahal sepanjang sejarah, namun hasil penjualan foto ini disumbangkan kepada UNICEF bagi tujuan kerja-kerja amal.

Shiloh dilahirkan di Namibia ketika Angelina Jolie sedang aktif melakukan kerja amal di sana.

Menarik perhatian ramai apabila anak perempuannya ini saling tidak tumpah seperti bapanya, ditambah dengan penampilan boyish.

Dia dilihat lebih selesa memakai sut dan tuksedo ketika menghadiri majlis rasmi.

Kata Angelina, sejak kecil lagi Shiloh cenderung berpakaian seperti lelaki dan mahu digelar sebagai “John”.

4. Pax

Seorang lagi anak angkat Angelina Jolie, Pax Thien Jolie-Pitt berasal dari Vietnam.

Lahir pada 29 November 2003, Pax diambil sebagai anak angkat ketika sudah agak besar iaitu pada Mac 2007 ketika berusia 3 tahun dari Tam Binh Orphan Center.

Pax kini berusia 15 tahun dan lebih cenderung dalam bidang fotografi.

Dia juga dikhabarkan menyukai muzik dan DJ.

5. Kembar Vivienne & Knox

Selepas melahirkan Shiloh, keluarga Brad Pitt dan Angelina Jolie nampaknya bertambah meriah dengan kehadiran sepasang kembar lelaki dan perempuan pada tahun 2008.

Pasangan kembar Vivienne dan Knox kini sudah berusia 11 tahun.

Mereka dilahirkan hanya selang seminit dan mereka berdua sering dilihat bersama ketika keluar dengan ibunya.

Kalau anda perasan, Vivienne pernah membuat penampilan dalam filem Maleficient sebagai Princess Aurora ketika bayi.

Menurut sumber, difahamkan Angelina Jolie tidak berminat menjadikan anaknya bintang filem dan cukuplah sekadar membuat penampilan secara suka-suka.

Apapun, seronok tengok anak-anak Angelina Jolie yang dah semakin membesar.

Semuanya nampak rapat walaupun ada adik-beradik kandung dan tiri.

Mesti meriah sebab ramai adik-beradik dengan latarbelakang yang begitu berwarna-warni kan?

Sumber: siraplimau.com

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]