Anwar simpati, harap media lain ambil pekerja Utusan

Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim berharap syarikat media lain akan mengambil kakitangan Utusan Melayu Bhd yang kehilangan kerja selepas ia menghentikan operasi hari ini.

“Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa pekerja dan staf Utusan Melayu.

“Semoga ada pihak media lain yang sudi menempatkan mereka di agensi-agensi mereka supaya pekerja Utusan Melayu ini dapat meneruskan kelangsungan hidup,” tulisnya di Twitter hari ini.

Menurut laporan, keputusan menghentikan operasi Utusan Melayu disampaikan kepada ketua jabatan semalam susulan penjualan 70 peratus saham dalam anak syarikatnya Dilof Sdn Bhd kepada Kumpulan Media Prima baru-baru ini.

Sementara itu, Setiusaha Agung Umno Annuar Musa berkata, partinya tidak boleh masuk campur dalam urusan pentadbiran dan pengurusan syarikat akhbar terbabit selepas pegangan saham dalam Utusan Melayu dilepaskan.

“Itu keputusan perniagaan, parti tidak perlu campur,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Annuar berkata, keputusan menghentikan operasi itu disifatkannya sebagai sesuatu yang malang kerana akhbar itu wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Dalam pada itu, wartawan veteran, A Kadir Jasin menyalahkan “budak-budak tingkat empat” di Jabatan Perdana Menteri pada zaman pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi atas penutupan Utusan Melayu.

“Campur tangan mereka yang berlebihan dan tidak profesional menyebabkan pembaca menghidu akhbar, televisyen dan radio milik syarikat berkaitan Umno tidak lagi berkecuali dan kurang kredibiliti.

“Salah satu kesilapan paling besar mereka adalah menggunakan media massa untuk mematikan legasi Dr Mahathir Mohamad dan menonjolkan Abdullah,” tulisnya di blognya.

Penasihat media dan komunikasi perdana menteri itu berkata, ia diburukkan lagi dengan perkembangan pesat teknologi digital dan kegagalan sistem pendidikan negara untuk mengekalkan minat membaca pelajar.

Beliau berkata, keadaan bertambah teruk apabila “budak-budak tingkat empat” era Najib Razak menggunakan bantuan “perunding” yang melakukan proses pugar dan bakar.

Katanya, beliau tidak nampak cara Utusan boleh diselamatkan kecuali muncul pemilik baru yang kaya dan komited kepada idealisme kewartawanan era baru.

“Pengambilalihan oleh usahawan, Syed Mokhtar Albukhary atau sesiapa saja yang mempunyai kemampuan kewangan pasti memberi nafas baru kepada Media Prima dan Utusan, tetapi jawapan mutakhir terletak di tangan pengarang dan wartawan.”