Anwar tak bodoh sebut ‘barua’, kata SetPol Dr M

Tangkap layar video yang tersebar di media sosial yang menunjukkan Anwar Ibrahim menyebut ‘barua’ merujuk Kongres Maruah Melayu yang dihadiri Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Setiausaha Politik kepada perdana menteri, Mohd Zahid Md Arip bersangka baik dan menganggap Anwar Ibrahim menyebut perkataan “barua” tanpa sengaja, susulan tersebarnya video di mana presiden PKR itu menyebut perkataan itu merujuk Kongres Maruah Melayu.

“Saya juga melihat video itu dan saya memilih bersangka baik, saya tak fikir Anwar sebodoh dan sebebal itu.

“Untuk sebut perkataan yang dimaksudkan dengan barua, mungkin dia tersebut barua tanpa sengaja,” katanya dalam satu rakaman video yang dilihat FMT.

Video yang tular di media sosial menunjukkan Anwar berkata ” Biar dia (Dr Mahathir Mohamad), (sejak) kongres ‘barua’ ni semangat dia lain macam”.

Namun, tidak dapat dipastikan sebutan Anwar tersebut adalah benar-benar “barua” atau “maruah”.

Zahid berkata Anwar dan pemimpin lain perlu bercakap dengan jelas kerana jika tersalah sebut satu perkataan boleh menimbulkan salah faham.

“Dia bila salah satu huruf ini dia boleh menimbulkan masalah di lain hari.

“Jadi saya fikir ini gurauan dan walaupun gurau, saya ambil kesempatan ini untuk nasihatkan Anwar dan siapa-siapa sahaja supaya lain kali biar jelas sebutan itu supaya kita tak berperang,” katanya.