AS sekat visa pegawai China, desak Beijing henti ‘tindas’ Uighur

AS mengambil langkah paling tegas bagi memaksa China menghentikan penindasan terhadap etnik Uighur dan umat Islam di wilayah Xinjiang.

WASHINGTON: Amerika Syarikat akan menyekat pengeluaran visa bagi pegawai China sehingga Beijing menghentikan penindasan ke atas etnik Uighur dan umat Islam di wilayah Xinjiang, sehari selepas ia melaksanakan sekatan perdagangan ke atas negara itu.

Tindakan kerajaan pimpinan Presiden Donald Trump itu adalah langkah paling tegas pernah dilaksanakan kuasa asing bagi menyahut gesaan kumpulan hak asasi ke atas krisis di Xinjiang dan susulan satu siri persengketaan antara AS dan China.

“China menahan lebih sejuta umat Islam secara paksa dalam kempen kejam dan sistem untuk menghapuskan agama serta budaya di Xinjiang,” tulis Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo di Twitter.

“China perlu menamatkan pengawasan dan penindasan drakonian, membebaskan semua individu yang ditahan sewenang-wenangnya dan menghentikan kekerasan ke atas warga China beragama Islam di luar negara.”

Dalam kenyataan yang disertakan, Pompeo berkata, Jabatan Negara AS akan mengehadkan pengeluaran visa kepada pegawai kerajaan dan Parti Komunis terbabit dalam “penahanan atau penderaan” etnik Uighur, Kazakhstan atau ahli kumpulan majoriti etnik Islam lain di Xinjiang.

Arahan itu turut akan menjejaskan ahli keluarga pegawai kerajaan dan Parti Komunis, termasuk anak mereka yang mahu belajar di AS.

Jabatan Negara AS bagaimanapun tidak mendedahkan nama pegawai yang akan terjejas.

Tetapi, penggubal undang-undang secara khusus meminta tindakan diambil terhadap Chen Quanguo, ketua Parti Komunis bagi Xinjiang.

Dia yang terkenal dengan cara pengurusan kumpulan minoriti dalam partinya, mengetuai dasar kuku besi yang menyasarkan usaha menghancurkan penentang kerajaan di Tibet.

Bantahan China

Jabatan Perdagangan AS pada Isnin menyenaraihitamkan 28 entiti China, termasuk firma pengawasan video, Hikvision dan syarikat risikan buatan, Megvii Technology serta SenseTime atas pembabitan mereka di Xinjiang.

Beijing menyuarakan “rasa tidak puas hati dan bantahan tegas” terhadap langkah itu serta menafikan sebarang pencabulan hak asasi manusia di wilayah barat itu.

“Dakwaan ini hanya alasan AS untuk sengaja campur tangan dalam hal ehwal dalaman China,” kata jurucakap Kementerian Luar, Geng Shuang di Beijing.

Kumpulan hak asasi manusia berkata, lebih sejuta orang Uighur dan umat Islam lain ditahan di pelbagai kem di Xinjiang untuk menyeragamkan populasi itu bagi mencerminkan budaya orang Han di China.

Saksi berkata, China memaksa etnik Uighur tidak meneruskan amalan Islam seperti berpuasa pada Ramadan, tidak mengambil alkohol dan daging babi.

China yang pada mulanya menafikan kewujudan kem itu, kini mendakwa ia adalah sekolah latihan vokasional untuk mengurangkan tarikan terhadap keganasan dan fahaman pelampau Islam.

Pihak berkuasa melancarkan operasi sejak 2009 dengan hampir 200 orang maut dalam rusuhan di Urumqi yang menyaksikan kemasukan orang Han beramai-ramai.

Keganasan itu berpunca daripada berita pergaduhan di sebuah kilang di selatan China, di mana dua pekerja etnik Uighur terbunuh.

Pompeo sebelum ini menyifatkan layanan China terhadap etnik Uighur “kesan terburuk di dunia” dan mengaitkan kem itu kepada tindakan Nazi di Jerman.

Tetapi, hanya beberapa pemimpin Islam yang menentang kebangkitan China dengan pengecualian terhadap Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang mempunyai kaitan dari segi bahasa dan budaya dengan Uighur.

Pejuang hak turut berkata, Trump tidak konsisten dalam memberi tekanan kepada hak asasi manusia dan memberi contoh reaksinya ketika menemui pemimpin autoritarian dari Mesir dan Arab Saudi yang merupakan sekutunya.

Tindakan terbaru Washington itu menyusul perang perdagangan yang tidak menunjukkan sebarang tanda reda antara AS dan China, ekonomi kedua terbesar di dunia yang mengenakan tarif berbilion dolar ke atas produk masing-masing.

Pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bulan lalu, Trump turut memberi amaran kepada China yang AS sedang memantau Hong Kong yang berdepan protes besar-besaran bagi menuntut Beijing menghormati status separa autonomi bandar itu.