Cadangan belum jelas, Khalid digesa jumpa pemilik tanah Kg Baru

Harga yang ditawarkan kerajaan dua minggu lalu mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak.

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad digesa berjumpa balik dengan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru dan pastikan adakah mereka benar-benar mahu menjual tanah serta jelas dengan cadangan kerajaan.

Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Petempatan Pertanian Melayu Kampung Baru (MAS) Shamsuri Suradi berkata cadangan kerajaan untuk membeli dan membangunkan penempatan bersejarah itu masih belum jelas.

“Khalid cakap lain, Mahathir cakap lain,” katanya kepada FMT, merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Ahad.

“Jangan sampai silap, habis tanah orang Melayu. Biarlah 100 tahun pun masa perlu diambil untuk bangun Kampung Baru. Tidak perlu terlalu tergesa-gesa.”

Mahathir pada sidang media selepas Kongres Maruah Melayu berkata tanah Kampung Baru di tengah-tengah ibu negara itu bukan untuk dijual kepada individu atau pihak luar, sebaliknya kepada agensi kerajaan.

Agensi kerajaan itu, katanya, berperanan membantu pemilik tanah membangunkan Kampung Baru tanpa mengabaikan ciri-ciri asal kawasan terbabit.

Media melaporkan pelan induk pembangunan Kampung Baru dibentang sejak 2014 lagi tetapi pelaksanaannya dikatakan sangat perlahan. Pelan baru kerajaan membabitkan 121.4 hektar tanah, termasuk 32.37 hektar tanah di luar pentadbiran MAS.

Kerajaan menawarkan RM850 bagi setiap satu kaki persegi untuk membeli tanah di Kampung Baru bagi pembangunan semula kawasan tersebut.

Pada Sabtu, Kumpulan Pemilik dan Pewaris Tanah Kampung Baru (Pewaris) mahu menemui Khalid bagi mendapatkan maklumat tepat dan terperinci mengenai situasi sebenar penjualan tanah. Setiausaha Zainuddin Ismail berkata kerajaan sewajarnya mengambil kira pendapat pemilik tanah, bukan hanya Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB).

Berdasarkan 700 hingga 800 borang yang diterima PKB, 90 peratus pemilik tanah bersetuju menjual dan bersetuju dengan Projek Pembangunan Kampung Baru tetapi mahukan harga lebih tinggi.

Shamsuri bersetuju dengan rancangan Pewaris bertemu Khalid. “Mana yang mengasak saya sokong.”

“Maaf saya cakap, sebenarnya banyak lagi isu di Kampung Baru selain isu nak jual tanah,” tambahnya.

Shamsuri berkata MAS sedia membantu usaha menyelesaikan kemelut tanah Kampung Baru, mengatakan rata-rata orang situ belum jelas dengan proses dalam cadangan kerajaan.

“Proses seperti macam mana cara bayaran dibuat. Jadi bincang betul-betul,” tambahnya.