Dakwa pemimpin DAP hina sultan: Polis mungkin panggil Najib

Najib Razak memaparkan tangkap layar yang dikatakan catatan FB Nga Kor Ming Super Fans Page yang didakwanya menghina Sultan Selangor.

KUALA LUMPUR: Bukit Aman tidak menolak kemungkinan memanggil bekas perdana menteri, Najib Razak berhubung catatan Facebooknya mengenai tanda jalan dwibahasa mengaitkan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata tindakan itu dibuat jika terdapat keperluan memanggil Najib.

“Kita akan siasat laporan polis yang kita terima itu, jika perlu, sesiapa saja kita akan panggil.

“Sekiranya perlu (Najib juga akan dipanggil),” katanya ketika sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Sebelum ini Nga melalui setiausaha sulit kanannya membuat laporan polis terhadap Najib berhubung catatan Facebook mengenai tanda jalan dwibahasa di mana bekas perdana menteri itu dakwa “menghasut” terhadap Sultan Selangor.

Ahli Parlimen Teluk Intan berkata pihaknya juga akan membuat laporan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, supaya tindakan undang-undang yang wajar akan diambil.

Catatan Najib itu memaparkan tangkap layar yang dikatakan catatan FB Nga Kor Ming Super Fans Page.

Dalam perkembangan sama, Huzir memaklumkan Nga akan dipanggil semula untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

Semalam Nga hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berhubung status menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dimuat naik dalam akaun media sosial yang dikaitkan dengannya.

Beliau ditemani Speaker DUN Perak Ngeh Khoo Ham, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar dan beberapa pemimpin DAP Perak.

“Saya juga menggesa polis mengambil tindakan terhadap bekas perdana menteri Najib berhubung kenyataan fitnah dikeluarkan terhadap saya di laman facebooknya,” kata Nga.

Siasatan ke atas Nga dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Mengulas mengenai Kongres Maruah Melayu di Stadium Melawati Shah Alam pada 6 Oktober lalu, Huzir mengesahkan satu laporan polis diterima terhadap Zainal Kling berhubung ucapannya.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505b Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 2008,” katanya tanpa mengulas lanjut.