Fifa denda Indonesia RM190,000 kerana penyokong liar

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menghormati keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mendenda badan induk itu sebanyak 45,000 Franc Swiss (RM190,000), susulan kekecohan yang ditimbulkan penyokong Indonesia pada aksi pertama Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 Sept.

Setiausaha Agung Ratu Tisha Destria berkata, PSSI akan membayar denda tersebut, sambil mendedahkan badan induk itu akan menilai semula prosedur keselamatan di stadium berkenaan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.

“PSSI berharap peristiwa pada 5 Sept lepas akan menjadi kejadian terakhir. Sepak bola harusnya menyatukan, mempromosikan keragaman budaya dan menyerukan sikap saling menghormati,” menurut Ratu Tisha dalam laman sesawang www.pssi.org hari ini.

Beliau menyeru semua pihak berkepentingan dalam bola sepak Indonesia supaya bekerjasama mewujudkan nilai murni dalam sukan berkenaan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia sebelum ini membuat aduan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia dan Fifa susulan tindakan liar penyokong Indonesia yang dikatakan cuba menyerang dan menimbulkan provokasi terhadap pemain dan penyokong selepas perlawanan berkenaan.

Pada perlawanan itu, Malaysia menewaskan Indonesia 3-2.