Kongres Maruah Melayu akan jejaskan wawasan 2030, manifesto PH

Visi yang mantap bagi pembangunan negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) ataupun manifesto Pakatan Harapan tidak akan membawa sebarang makna sekiranya keadaan politik tertumpu kepada esktremisme perkauman dan agama.

Seolah-olah pakatan politik yang dianjurkan di bawah perpaduan ummah oleh Umno dan PAS tidak cukup merunsingkan, baru-baru ini Kongres Maruah Melayu secara dasarnya mengesahkan bangsa dan agama menjadi keasyikan orang Melayu atau sekurang-kurangnya golongan elit Melayu.

Sekiranya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin PH tidak turut serta, kongres ini mungkin boleh dikatakan sebagai satu lagi percubaan bagi menyebarkan sikap perkauman; satu senario yang biasa berlaku di mana pemimpin Melayu menyalahkan orang bukan Malayu bagi ketinggalan orang Melayu dalam pembangunan sedangkan pemimpin ini sendiri yang gagal memimpin orang Melayu ke arah kemajuan.

Keadaan bertambah lagi rumit dengan kehadiran Mahathir bersama pemimpin Melayu yang lain seperti Presiden PAS Hadi Awang dan segelintir pemimpin Umno di kongres ini.

Mahathir tidak boleh menukar pendirian sesuka hatinya.
Sebagai perdana menteri bagi semua rakyat Malaysia, Mahatir seharusnya mempunyai pendirian yang tegas dalam keputusannya untuk tidak menghadiri kongres tersebut dan berkongsi platform dengan individu seperti Hadi dan pihak yang lain yang merupakan musuh politiknya.

Tetapi dengan menolak pandangan orang lain, beliau mempertahankan keputusannya dengan mengatakan beliau sebagai seorang berbangsa Melayu yang mempunyai hak untuk menyertai kongres tersebut.

Ucapannya hanyalah merupakan ulangan tema lamanya di mana Mahathir masih mengatakan orang Melayu sendiri harus mempersalahkan diri sendiri kerana tidak bekerja keras, tidak merebut peluang dan bergantung kepada bantuan kerajaan serta bagaimana orang bukan Melayu yang dikatakannya sebagai “orang asing” mengambil kesempatan ke atas orang Melayu.

Terdapat lima resolusi yang ditentukan di kongres ini di depan Mahathir yang bersifat perkauman dan sangat melampau.

Resolusi ini menyeru agar jawatan perkhidmatan awam dan kerajaan berpangkat tertinggi hanya dikhaskan untuk orang Melayu, pemantapan sistem sekolah kebangsaan melalui pemansuhan sekolah vernakular Cina dan Tamil, langkah agresif bagi pengenalan pelajaran Jawi dan khat di sekolah dan halangan kepada penglibatan badan bukan Melayu dengan perkara
berkaitan Islam.

Oleh kerana Mahathir menghadiri dan memberi ucapan di kongres, timbulnya harapan daripada segelintir pihak bahawa PH mungkin akan melaksanakan beberapa resolusi di atas.

Bagaimanapun, Mahathir mengatakan kerajaan tidak berada dalam kedudukan untuk melaksanakan keputusan ini.

Sama ada akan diperakui atau tidak, terdapat agenda yang bersifat melampau akibat daripada resolusi
ini, tetapi tidak pasti siapakah kumpulan di sebalik perkara ini.

Harus dikesali bahawa PH yang mempunyai begitu banyak potensi untuk merealisasikan visi baru dipengaruhi oleh isu perkauman yang menuju ke arah kemusnahan.

P Ramasamy merupakan timbalan ketua menteri II Pulau Pinang.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.